PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pembangkang agar menghentikan segala usaha 'tebuk atap' seperti Langkah Dubai dan Langkah Chow Kit.
Menurutnya, rakyat mahu melihat kestabilan politik di negara dicapai dengan peningkatan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kepercayaan kepada pelabur asing untuk masuk melabur."Saya fikir, pembangkang cukuplah untuk melakukan langkah-langkah yang apa nama sekali pun, jangan buang masa rakyat," katanya menerusi sidang akhbar selepas menyampaikan amanat tahun baharu di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, akuan bersumpah tidak lagi digunakan sebagai platform utama sebagaimana sebelum kewujudan Akta Anta Lompat Parti.
"Ini tidak akan berlaku kerana jaminan telah diberikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Begitu juga dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)," katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan wujud rancangan di pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Anti Lompat Parti yang digunakan kerajaan Madani untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN.
Sebelum itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Ismail Yusop mendedahkan terdapat gerakan yang dinamakan Langkah Dubai untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dirancang dan didalangi pemimpin pembangkang demi menutup pelbagai kelemahan Kerajaan Perpaduan sekarang.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, suasana politik negara yang dinamik menyaksikan parti kerajaan dan pembangkang mempunyai strategi masing-masing.
"Tetapi kadar pengangguran mesti dikurangkan dan peluang pekerjaan mesti diwujudkan, bukan berpolitik.
"Boleh berpolitik apabila sampai waktunya untuk rakyat mengundi pada pilihan raya," katanya.