GEORGE TOWN - Kerajaan harus bertindak tegas dan menghentikan polemik yang mendesak supaya diadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, ketidakwajaran mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan telah banyak kali dijelaskan malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pernah menyatakan pihaknya tidak boleh mengendalikan pilihan raya itu ekoran pemansuhan Akta 473 iaitu Akta Kerajaan Tempatan 1960.
Menurutnya, Akta 473 itu menjelaskan pihak kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan pilihan raya PBT dan Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) menyatakan bahawa keanggotaan dalam mana-mana majlis PBT ialah menerusi pelantikan sahaja.
"Kita harus belajar dari sejarah bagi memahami kenapa pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan.
"Sebagai orang yang terlibat dengan politik seawal pilihan raya pertama itu diadakan, maka saya ingin menyatakan bahawa pilihan raya PBT untuk memilih ahli majlis itu tidak lagi diperlukan kerana kita telah mengadakan pilihan raya umum bagi memilih wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat,” katanya menerusi kenyataan di sinipada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai menjelas kenyataan pemimpin DAP baru-baru ini yang menggesa kerajaan mengadakan semula pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai berkata cadangan itu dikemukakan bagi memperkukuh demokrasi di Wilayah Persekutuan dan beliau juga mengesa supaya memansuhkan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi mengelakkan campur tangan politik dalam pentadbiran Kuala Lumpur.
Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras memberi alasan, pelaksanaan semula pilihan raya PBT di Kuala Lumpur akan membawa kepada ibu negara yang mampan, mengamalkan tadbir urus cekap, bersih dan berpaksikan rakyat.
Mohd Yusoff yang juga veteran UMNO berkata, Kok Wai mungkin tidak faham fakta sejarah bahawa pilihan raya PBT yang pernah diadakan itu semata-mata untuk memberikan pengalaman dan mendedahkan warga tempatan kepada sistem politik yang bakal diwarisi daripada British.
"Pulau Pinang menjadi negeri pertama mengadakan pemilihan majlis tempatan atau pilihan raya perbandaran pada 1951 oleh kerana negeri itu mewujudkan kerajaan tempatan seawal 1856 yang dikenali sebagai Majlis Perbandaran George Town (MCGT) di bawah pentadbiran British.
"Pada 1955, Perikatan memenangi pilihan raya umum terulung di negara ini dan Pulau Pinang membentuk kerajaan yang diketuai MCA dan Wong Pow Nee sebagai Ketua Menteri pertama.
"Sistem pentadbiran telah mengalami kecelaruan apabila pada suatu ketika pentadbiran Majlis Bandaraya dikuasai oleh Barisan Sosialis Pulau Pinang pimpinan Ooi Theam Siew sebagai Datuk Bandar manakala pentadbiran kerajaan negeri dikuasai oleh Parti Perikatan pimpinan Wong Pow Nee sebagai Ketua Menteri," jelasnya.
Beliau berkata, telah wujud dua jawatan eksekutif utama iaitu Datuk Bandar dan Ketua Menteri yang tidak sehaluan dan ia menyukarkan kerja-kerja pentadbiran kerajaan.
"Tunku mahukan semua bangunan kerajaan dihiasi dengan lampu-lampu dan bendera-bendera dinaikkan bagi sambutan pengisytiharan tamat darurat itu tetapi Majlis Bandaraya enggan berbuat demikian dan tidak mengiktraf sambutan itu," katanya.
Tambah beliau, keingkaran majlis itu menyebabkan Wong Pow Nee mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri bagi meminda ordinan negeri untuk memberi kuasa kepada Ketua Menteri melantik pentadbir Majlis Bandaraya dan seterusnya beliau mengarah Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Tuan Abu Hassan Abdullah mengambil alih kuasa pentadbiran.
Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, pilihan raya PBT ini akan membazir wang rakyat kerana kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan ratusan juta ringgit kepada 155 kerajaan tempatan termasuk majlis daerah di beberapa kawasan juga 'politiking' yang ketara tidak dapat dielakkan di peringkat majlis tempatan yang kelak mengakibatkan perpecahan kaum dan seterusnya menjejaskan keharmonian rakyat berbilang kaum.
"Apa yang penting ialah ahli-ahli majlis yang dilantik harus bekerja dan memenuhi kehendak rakyat kerana PBT juga mengutip cukai daripada rakyat.
"Jika kerajaan mahukan berlaku semak dan imbang dalam kerajaan tempatan, kerajaan boleh melantik wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti pembangkang melantik wakil mereka dalam PBT dan ia mungkin satu perubahan yang menarik dalam sistem pemilihan ahli-ahli majlis," katanya.