SEOUL - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menekankan keperluan untuk negara itu mengukuhkan pencegahan nuklearnya untuk"pertempuran tentera" dengan musuhnya, lapor Agensi Berita Yonhap pada Jumaat.
Menurut Agensi Berita KCNA Jong Un membuat kenyataan itu semasa lawatan ke sebuah kilang yang mengeluarkan pelancar mudah alih untuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Korea Utara.
Jong Un mengarahkan langkah-langkah untuk memperluas kapasiti pengeluaran Transporter Erector Launchers (TEL), menekankan bahawa kilang itu memainkan peranan penting dalam memperkukuh kemampuan pertahanan negara itu.
Menurut KCNA Jong Un telah merangka rancangan segera dan jangka panjang untuk pengeluaran dan tugas untuk memperluas kapasiti pengeluaran kilang.
Beliau menitikberatkan keperluan untuk menghasilkan pelbagai TEL untuk senjata taktikal dan strategik.
Tahun lepas, Korea Utara melancarkan lima ICBM, jumlah tertinggi ujian dalam setahun. Pada April 2023, Pyongyang melancarkan ujian ICBM Hwasong-18 buat kali pertama dan melancarkan dua lagi ujian pada Julai dan Disember.
Semasa mesyuarat Parti Pekerja Korea pada hujung tahun lepas, Kim menggesa tahap kesediaan berperang negara itu ditingkatkan selain mengumumkan rancangan untuk melancarkan tiga lagi satelit pengintip dan memperkukuh senjata nuklearnya pada 2024. - Bernama