Pulau Pinang dapat bantuan bekalan air dari negeri lain

Iklan
Penduduk, Rozita Ramli, 50, menggunakan alternatif menyimpan air dalam plastik sampah bagi memastikan bekalan air mencukupi di rumahnya sepanjang tempoh tiada bekalan air pada 10 hingga 14 Januari nanti. Foto Bernama Beliau juga menyimpan air dalam tong dan bekas-bekas lain. Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan kepada orang awam supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi menghadapi gangguan bekalan air dalam tempoh tersebut. PBAPP mengumumkan 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula 6 pagi, 10 Januari hingga 6 pagi, 14 Januari bagi memberi laluan kepada kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Butterworth selain kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

GEORGE TOWN - Pulau Pinang akan mendapat bantuan bekalan air bersih dari beberapa negeri lain sepanjang tempoh lima hari gangguan bekalan air di negeri ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada Khamis berhubung perkara tersebut.

Zairil Khir

Iklan
Iklan

"Pulau Pinang akan mendapat bantuan bekalan air dari negeri-negeri lain yang mana ia akan diuruskan oleh SPAN.

"Kita sudah berbincang dengan SPAN mengenai perkara itu semalam dan ada persetujuan secara prinsip.

Iklan

"Cuma, nak memuktamadkan berapa buah negeri dan berapa tangki air yang akan terlibat, itu semua di bawah penyeliaan SPAN," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Tambahnya, sebelum ini, SPAN telah membekalkan 15 tangki air bergerak ketika gangguan bekalan air melibatkan kira-kira 200,000 pengguna air di Barat Daya (bahagian pulau) dan Seberang Perai (kawasan seberang) pada bulan lalu.

Iklan

Gangguan itu berikutan penutupan sementara saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang pecah.

"Kali ini, kita minta lebih (tangki air) daripada SPAN dan mereka sedang memuktamadkan jumlah tangki yang akan diletakkan di kawasan kritikal di negeri ini.

"Daripada segi logistik, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang memuktamadkan beberapa lokasi yang akan ditempatkan tangki air tersebut. Kita akan fokus di kawasan kritikal seperti Balik Pulau, Seberang Perai Selatan dan Sungai Ara.

Penduduk setempat membeli tong air sebagai persiapan susulan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari hingga 14 Januari ini. Foto Bernama

"Kita ada beberapa jenis tangki air, ada tangki besar dengan kapasiti 25,000 liter yang akan dibawa menggunakan treler sementara tangki yang kecil, akan diisi oleh tangki (besar) yang bergerak," katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan Pulau Pinang dengan kerjasama PBAPP akan menyediakan beberapa unit tangki air jumbo di setiap daerah, sebagai persiapan menghadapi gangguan bekalan air mulai 10 hingga 14 Januari ini.

Kon Yeow berkata, PBAPP akan menyewa 10 tangki tersebut yang mempunyai kapasiti 20,0000 hingga 30,000 liter bertujuan mengisi semula air dalam tangki statik yang diletakkan di tempat awam.

Sebahagian besar Pulau Pinang melibatkan 590,000 akaun pengguna PBAPP bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 10 Januari ini kerana kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Kerja pembaikan paip tersebut melibatkan penggantian dua unit injap kawalan utama sebesar 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dalam LRA yang bocor.