SHAH ALAM - Penganjur piket solidariti untuk Palestin, ‘Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin’ mengesahkan masih belum dipanggil polis untuk memberi keterangan susulan perhimpunan aman itu.
Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Tian Chua berkata, tindakan badan bukan kerajaan (NGO) itu bagaimanapun tidak melanggar undang-undang atau bercanggah dengan dasar kerajaan.
Iklan
Iklan
"Kita tidak ada kontradiksi dengan mana-mana pihak di Malaysia, tetapi kepada Amerika Syarikat iaitu wakil pemerintah negara itu di negara ini.
"Apa yang dilakukan ini (piket) selaras dengan dasar kerajaan, saya tidak nampak ada apa-apa pelanggaran undang-undang atau percanggahan dasar kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, sekali gus akan memanggil penganjur untuk memberi kenyataan susulan perhimpunan solidariti dilakukan tanpa permit.
Sebagai rekod, piket anjuran SSP berlangsung pada 26 Disember hingga Isnin lalu membabitkan penyertaan daripada 48 NGO sebagai tanda respons rakyat Malaysia yang cintakan keamanan susulan serangan Israel ke atas Gaza.
Solidariti di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat itu sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza yang menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, serta mendesak gencatan senjata dilaksanakan segera.