Iran: Tragedi Kerman angkara pengebom bunuh diri - Laporan

Iklan
Wanita memegang bunga ketika berkumpul sempena memperingati mangsa tragedi letupan di bandar Kerman, Iran. - Foto AFP

TEHRAN - Tragedi letupan yang berlaku di kawasan sesak di bandar Kerman, Iran pada Rabu dikatakan berpunca daripada serangan pengebom bunuh diri, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Sekurang-kurangnya 84 orang maut dalam dua letupan di kawasan perkuburan ketika ribuan sedang berkumpul untuk memperingati ulang tahun keempat kematian Komander Tertinggi Tentera Iran Jeneral Qassem Soleimani.

Iklan
Iklan

IRNA yang memetik sumber melaporkan bahawa berdasarkan siasatan terperinci, termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati letupan pertama dilakukan oleh pengebom bunuh diri dan usaha untuk mengenal pasti identiti suspek sedang dijalankan.

Menurut sumber, satu lagi letupan mungkin berpunca daripada pengebom bunuh diri namun siasatan masih diteruskan.

Iklan

Sementara itu, kumpulan Daesh dalam satu kenyataan di Telegram mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan.

Serangan itu meragut banyak nyawa dan disifatkan insiden paling tragis sejak revolusi 1979.

Iklan

Sebelum ini, Presiden Ebrahim Raeisi dan Menteri Dalam Negeri Ahmad Vahidi mendakwa Israel dan dan sekutunya dari Barat dalang di sebalik serangan itu. - Bernama-Anadolu