SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pertandingan video pendek sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) #RasuahBusters 2023 mendapat sambutan memberangsangkan apabila menerima lebih 70 penyertaan daripada orang ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, penganjuran itu bagi menggalakkan penglibatan orang ramai terutamanya golongan belia untuk bersama bangkit mengekspresikan penolakan terhadap rasuah.
"Pertandingan ini bertemakan ‘Bersatu Menentang Korupsi’ bagi menjadikan HARA pada 9 Disember setiap tahun sebagai satu sambutan signifikan untuk diisi dengan aktiviti yang bermanfaat.
"Pertandingan video ini berjaya menjadi platform inovasi kepada para peserta, di mana ia mendorong mereka menggali potensi, punca dan kesan rasuah hingga akhirnya menghasilkan naratif serta mesej kreatif sebagai mekanisme kesedaran anti rasuah,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Sebelum ini, program HARA #RasuahBusters 2023 diadakan buat julung kalinya di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada 13 hingga 14 Disember lalu dengan menyediakan pelbagai pameran dan aktiviti khas.
Program itu dianjurkan bagi menyampaikan mesej antirasuah dan membentuk kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama pelajar serta peniaga tempatan.
Pertandingan video tersebut merupakan satu lagi usaha #RasuahBusters bersama rakan-rakan gabungannya seperti Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Malaysia Association of Muslim Finance Professionals (MFP) dan Ajar Demokrasi.
Tambahan, pemenang tempat pertama membawa pulang wang tunai RM1,500, kedua (RM1,000), ketiga (RM700), keempat (RM500), kelima (RM300) dan saguhati sebanyak RM100 bagi 10 orang peserta.
Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, hasil kreativiti dengan kajian dan kolaborasi melalui teknologi media telah menjadi platform penyebaran kesedaran sosial kepada masyarakat.
"Kita lihat capaian dan interaksi sosial media juga tinggi dan membuktikan bahawa format video dan audio adalah kaedah yang mudah diterima oleh golongan muda serta menjadikan penyampaian mesej lebih berkesan.
"Ia juga menjadi ruang untuk peserta mempamerkan kemahiran mereka dengan menerapkan nilai-nilai integriti dan mesej penolakan rasuah yang sebenarnya bertujuan membentuk pemikiran kritikal terhadap penjagaan hak-hak kemanusiaan,” ujarnya.
Tambah beliau, tindakan menghentikan kegiatan itu bukan tugas eksklusif mana-mana pihak tetapi merupakan tanggungjawab kolektif yang harus dimanifestasikan dengan tindakan bersungguh-sungguh dan konsisten dalam apa jua kapasiti sedia ada.
Jelasnya, pertandingan video adalah salah satu bentuk komunikasi yang harus diperluaskan lagi kepada pelbagai bentuk seni dalam membanteras rasuah dan perlu melibatkan setiap individu di seluruh peringkat ekosistem.
"Jadi, menerusi video ini kita dapat berkongsi, meluaskan dan menyebarkan lagi info mengenai impak rasuah yang akan memberi kesedaran bagi menjamin masa depan keluarga, masyarakat dan negara daripada jenayah tersebut.
"Saya harap banyak lagi karya kreatif dan jaringan terus dihasilkan dengan mesej yang membawa manfaat untuk melahirkan sebuah Malaysia bebas rasuah,” ujar Nurhayati.