'Hamdan mohon maaf jika ada salah silap, itu pesanan dia' - Yassin

Iklan
Yassin ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HSA Johor Bahru pada Jumaat.

JOHOR BAHRU - Pelakon dan pelawak kumpulan Senario, Allahyarham Hamdan Ramli, 55, tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum jatuh sakit dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Ahad.

Rakannya, Yassin berkata, apabila arwah ditidurkan di HSA dan tidak dapat menyertai Program Wonderful Night With Senario Union di sebuah hotel di sini, mereka berat hati untuk meneruskan persembahan tanpa Hamdan.

Iklan
Iklan

"Kami berat nak balik sejak hari persembahan apabila abang Hamdan menunjukkan tanda-tanda tak berapa sihat dan tak berapa nak beraksi bersama kami.

"Tapi apa pun, benda (persembahan) kita kena teruskan. Abang Hamdan ditidurkan hampir empat hari sebelum anaknya memberitahu jam 2 tengah hari tadi arwah tidak boleh lagi bergantung dengan mesin," katanya kepada pemberita di Jabatan Perubatan Forensik HSA di sini pada Jumaat.

Iklan

Hamdan dilaporkan meninggal dunia di HSA di sini, pada jam 12.50 tengah hari Jumaat.

Ahli keluarga dan rakan berkumpul di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HSA Johor Bahru pada Jumaat.

Sebelum itu, pada 31 Disember lalu, Hamdan ditidurkan selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA akibat komplikasi buah pinggang.

Iklan

Dalam pada itu, Yassin berkata, pemergian Allahyarham terlalu berat untuk diterima kumpulan itu kerana terlalu banyak kenangan sepanjang 27 tahun bersama.

"Kenangan tak boleh dilupakan terlalu banyak, pahit manis semua ada. Cuma buat masa ini yang saya tidak boleh lupakan adalah pada malam terakhir kami semua berkumpul dan makan bersama-sama di sebuah restoran di Bandar Baru Uda (BBU).

"Abang Hamdan tiada tunjuk apa-apa tanda tidak sihat, sebaliknya kami semua gembira kerana dapat berkumpul untuk buat 'show' dan beraksi pada malam tahun baharu.

"Tetapi benda dah tertulis, sebelum ditidurkan isterinya ada maklum kepada kami abang Hamdan mohon maaf kepada semua termasuk peminat dan ahli keluarga, dia dah mohon awal-awal jika ada salah silap dia, itu antara pesanan dia," katanya.

Sementara itu, Pengurus Kumpulan Senario, Nizam Othman berkata, Hamdan merupakan seorang yang baik khususnya dalam menjaga solat dan hubungan sesama individu.

"Arwah selalu berpesan dan ingatkan kawan-kawan termasuk ahli Senario agar jangan lupa solat, sentiasa buat baik dengan sesiapa sahaja.

"Selain itu dia juga selalu berpesan untuk maafkan orang lain walaupun orang itu berbuat tidak baik kepada kita," katanya yang telah menguruskan kumpulan itu sejak awal penubuhan Senario pada 1996.