KUALA LUMPUR - Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wangsa Maju, Lai Chen Heng meluahkan kekesalan apabila empat banting parti yang dipasang sekitar Wangsa Maju disabotaj dan dirosakkan dalam tempoh setahun.
Chen Heng berkata, dua banting ucapan Tahun Baharu 2023 dan Hari Malaysia yang dipasang pada Januari dan September tahun lalu telah dikoyakkan.
Menurutnya, terbaharu dua lagi banting sempena Hari Krismas dan Tahun Baharu 2024 pula di lempar cat merah dalam tempoh seminggu iaitu pada 27 Disember dan Khamis lalu.
"Saya percaya perlakuan khianat itu dilakukan antara jam 12 tengah malam hingga 4 pagi Jumaat. Ini kerana, saya ada melalui lokasi kejadian pada tengah hari Khamis dan banting masih dalam keadaan baik," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya, laporan polis berhubung kejadian telah dibuat di Balai Polis Setapak sejurus menerima maklumat.
Tambah beliau, perbuatan itu berkemungkinan berunsur politik atau rasa tidak puas hati terhadap dirinya dalam menyelesaikan aduan komuniti berkaitan ular parkir, warga asing dan gerai haram.
"Saya juga tidak pasti jika ia berkaitan dengan status saya sebagai ahli perniagaan, namun saya tidak ada buat pinjaman ah long yang menjadi punca muka saya dilempar cat merah," katanya.
Ujarnya, kegiatan tersebut semakin berleluasa selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dan sabotaj seperti itu tidak sepatutnya berlaku di bawah Kerajaan Madani.
"Jika berlaku 10 tahun lalu kita faham, tapi sekarang sudah di bawah Kerajaan Madani tidak sepatutnya main unsur khianat seperti ini.
"Saya serah kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan saya telah dipanggil untuk memberi keterangan. Laporan polis dibuat untuk mengingatkan pelaku menghentikan perbuatan khianat ini," katanya.