IPOH - Polis Perak telah menahan sepasang suami isteri berhubung kes penyelewengan kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjumlah RM9.62 juta.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan tersebut melibatkan lelaki berusia 50 tahun dan wanita 53 tahun yang bertindak sebagai ejen kutipan zakat.
"Kedua-dua individu ini ditangkap di sebuah lokasi di Kuala Lumpur sekitar jam 12.35 tengah hari tadi (Jumaat).
"Hasil siasatan awal, suami isteri ini hanya berperanan sebagai ejen kutipan zakat dan bukan kakitangan mana-mana pusat zakat," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya tidak dapat memberikan maklumat terperinci kes itu kerana masih dalam siasatan polis.
"Kita baru buat tangkapan melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita. Kita sedang siasat dan (sebaik selesai) akan beri maklumat lagi,” katanya.
Pada Khamis, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mendedahkan, polis melakukan sisatan terhadap sebuah syarikat dilantik sebagai ejen kutipan zakat MAIPk selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.
Siasatan itu dijalankan selepas syarikat terbabit dipercayai gagal mendepositkan zakat bermula Mac hingga September 2023.
Dalam pada itu, MAIPk difahamkan tidak dapat memberi sebarang kenyataan buat masa ini kerana kes itu masih dalam siasatan dan tindakan polis.