PONTIAN - Dua nelayan berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor selepas bot mereka mengalami kerosakan pada awal pagi Jumaat.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, mangsa, Mohd Tan Sahubat, 55, dan Mohd Safiuddin, 35, berjaya ditemui sekitar jam 1.30 pagi di kedudukan 4.1 batu nautika timur laut Tanjung Piai.
"Pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC), Johor Bahru menerima panggilan kecemasan daripada keluarga mangsa jam 11.20 malam apabila mereka gagal menghubungi nelayan terbabit selepas keluar ke perairan Tanjung Piai, jam 3.30 petang Khamis.
"Sebuah bot ronda Maritim Malaysia, Perkasa 42 telah diatur gerak untuk mencari mangsa.
"Kedua-dua mangsa akhirnya berjaya ditemui sekitar jam 1.30 pagi tadi (Jumaat) di kedudukan 4.1 batu nautika timur laut Tanjung Piai," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Kedua-dua mangsa berjaya membaiki kerosakan pada enjin bot dan mereka kemudiannya diiringi pulang oleh bot Perkasa 42.