SHAH ALAM - Sembilan serbuan terdiri daripada penyeludupan hidupan liar, ubat palsu serta penyelewengan diesel melibatkan rampasan bernilai RM21.9 juta dicatatkan setakat Jumaat.
Operasi dijalankan Wildlife Crime Bureau (WCB) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman yang dijalankan sejak 1 Januari itu turut melibatkan tangkapan seramai 15 individu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, keseluruhan serbuan dijalankan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM21,917,449.
"Antara kesalahan diambil tindakan melibatkan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2000 dengan nilai rampasan RM116,000, Akta Kawalan Bekalan(RM6,601,449) dan Seksyen 11 Akta Makanan 1983(RM13,200,000).
"Selain itu, rampasan turut melibatkan Enakmen Perhutanan Negara(Pemakaian) dengan nilai rampasan RM1,500,000, Peraturan 7(1)aPeraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 dengan jumlah rampasan sebanyak RM500,000," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, pihaknya sentiasa komited dan fokus menjalankan visi dan misi yang ditetapkan dalam menangani jenayah ini.
"Operasi bersepadu serta kerjasama melibatkan pelbagai agensi sentiasa dipertingkatkan demi mengekang dan memerangi jenayah seumpama ini.
"Selain itu, kami turut mengalukan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat berkaitan agar kegiatan jenayah sebegini dapat dibanteras sepenuhnya," katanya.