SHAH ALAM - Seorang doktor mendakwa dua hospital kerajaan di Selangor sering menjadi tumpuan warga Myanmar cuba mendapatkan rawatan secara percuma terutamanya wanita yang ingin bersalin.
Pengguna TikTok, Dr Faizal Azmi turut mendakwa, sikap toleransi doktor dipercayai menjadi punca warga Myanmar dari negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan sebagainya turut datang ke hospital berkenaan.
Menurutnya, mereka akan dikenakan bayaran deposit sebanyak RM3,000 sebelum menerima sebarang rawatan, namun ramai yang mengambil kesempatan.
"Ada satu kes, dia datang pakai kain batik lusuh, tak faham apa yang kita cakap sebab guna bahasa isyarat padahal dah lapan tahun duduk dekat Malaysia dan disebabkan isteri dia dah sakit sangat, saya suruh juga masuk dulu (wad).
"Masa saya nak tandatangan borang, jururawat tahan kata jangan sebab mereka ini (warga Myanmar) ada komuniti dekat belakang hospital siap buka kedai runcit dan meniaga makanan lagi.
"Rupa-rupanya dia mengharapkan untuk masuk percuma ke hospital kerajaan dan bila tahu perkara ini, saya tegaskan juga suruh dia bayar dan akhirnya suami dia datang semula dengan duit deposit,” katanya menerusi video yang dimuat naik pada Jumaat.
Tambah Faizal, terdapat juga warga Myanmar yang tidak mahu pulang setelah diberikan rawatan kerana ketiadaan wang.
"Seorang lagi kes pesakit, dekat 14 jam dalam dewan bersalin bermati-matian tak nak dibedah sehinggakan bayi hampir lemas dalam perut sebab tiada duit tetapi kami minta tolong dengan warga Myanmar lain terangkan situasi tersebut.
"Lama-lama dapat juga pujuk tapi timbul pula masalah lain iaitu pada hari kedua selepas pembedahan, suami isteri ini tak nak balik kerana katanya tiada tempat tinggal kerana datang dari Kelantan.
"Akhirnya kami terpaksa telefon pihak polis untuk paksa juga mereka keluar kerana lagi lama mereka tinggal (dalam wad), lagi mahal bil hospital,” ujarnya.