Penuntut Malaysia terjejas banjir di Jakarta dipindah

Iklan
Beberapa kawasan kota Jakarta dan bandar berhampiran Jakarta dilanda banjir teruk sejak semalam berikutan hujan lebat pada awal pagi tahun 2020. - Foto Reuters/Antara Foto/Saptono

JAKARTA - Sebanyak 10 pelajar Malaysia kini ditempatkan di Dewan Malaysia Jakarta (Malaysia Hall) selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir di Jakarta sejak semalam.

Menurut Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EMI), Profesor Madya Dr Mior Harris Mior Harun, semua pelajar itu dipindahkan dari kediaman mereka di Tanjung Duren, Grogol, Jakarta Barat pada petang semalam.

Iklan
Iklan

"Semua pelajar itu adalah pelajar perubatan Universitas Kristen Krida Wacana (Ukrida) dan mereka kini ditempatkan di Malaysia Hall sehingga keadaan mengizinkan untuk mereka pulang," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, EMI kini terus melakukan pemantauan berkenaan situasi semasa banjir dan masih mengesan pelajar lain yang berkemungkinan menjadi mangsa banjir.

Iklan

Beberapa kawasan kota Jakarta dan bandar berhampiran Jakarta seperti Bekasi, Tangerang, Bogor dan Depok dilanda banjir teruk sejak semalam berikutan hujan lebat pada awal pagi tahun 2020.

Setakat pagi ini, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) menyatakan 16 orang dilaporkan maut manakala lebih 30,000 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Iklan

Seorang pelajar Ukrida yang ditempatkan di Malaysia Hall, Suhaima Izzatiey Amirah Suhaimi, 25, berkata, dia telah tiga tahun menetap di kawasan perumahan berkenaan dan tidak pernah mengalami kejadian banjir sebelum ini.

"Hujan lebat (malam sambutan tahun baharu) dan berlarutan sehingga pagi.

"Air di kawasan rumah kami diami naik sehingga paras lutut (0.4 meter) dan kami berhubung dengan pihak Kedutaan Malaysia dan kedutaan meminta kami evakuasi ke Malaysia Hall kerana bimbang jika keadaan banjir makin memburuk," katanya. - Bernama