KUALA LUMPUR - Jenayah hidupan liar dan khazanah alam negara akan terus menjadi tumpuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha banteras kegiatan haram itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan ini akan ditangani dengan serius oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.
Menurut beliau, polis menyokong usaha kerajaan melindungi dan memelihara khazanah negara serta mengukuhkan kedaulatan undang-undang di semua peringkat khususnya melibatkan jenayah alam sekitar.
"Operasi-operasi yang dijalankan oleh WCB/PSK bukanlah hanya tertumpu kepada usaha mengekang aktiviti penyeludupan hidupan liar sahaja.
"Namun, ia juga memberi fokus utama kepada khazanah alam negara yang dilihat semakin pupus,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana terlibat dalam jenayah hidupan liar dan khazanah alam termasuk akan mengesan pemburu, orang tengah mahu pun pembeli.
Tambah Razarudin, beliau mengucapkan syabas kepada warga Jabatan KDNKA amnya dan WCB/PSK khasnya yang bertungkus-lumus berusaha melindungi serta memelihara khazanah negara.
"Masyarakat digesa membantu PDRM dalam menyalurkan maklumat agar hidupan liar dan khazanah alam sekitar dipelihara dapat dipelihara," ujarnya.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan WCB/PSK merekodkan rampasan bernilai RM1.6 juta membabitkan siasatan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) dalam operasi pada 1 hingga 5 Januari ini.