SHAH ALAM - Sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik sebuah kawasan perumahan dilengkapi kawalan keselamatan di Setia Alam dekat sini tumpas selepas dua lelaki dipercayai pengedar diberkas dalam serbuan dijalankan pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kedua-dua suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika berada di lobi perumahan bertingkat itu sebelum ditahan anggota polis terlibat.
Iklan
Iklan
"Pemeriksaan dijalankan kemudian menemukan satu beg plastik sampah berwarna biru mengandungi 70 ketulan plastik berwarna hitam dan 20 ketulan plastik berwarna putih disyaki heroin dengan anggaran berat 1,500gram," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, semakan dijalankan mendapati dua suspek berkenaan memilki pelbagai rekod jenayah lampau.
"Saringan ujian ari kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek berkenaan mendapati mereka positif dadah.
"Siasatan awal mendapati kedua suspek bertindak sebagai pengedar dan kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk dijual di kawasan berdekatan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.