KOTA TINGGI - Berbaki seminggu sebelum melahirkan anak keempat, seorang wanita yang sarat mengandung 37 minggu terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran rumahnya di Taman Aman di sini dinaiki air sejak tiga hari lalu.
Maisarah Abd Yahal, 35, kini berlindung di PPS Dewan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kota Tinggi bersama suaminya, Mohd Azizi Ahmad, 33, dan tiga anak berusia lapan hingga 13 hingga tahun serta ibunya, Musalmah Sabran, 60.
Menurut Maisarah, tindakan berpindah segera ke PPS dilakukan selepas air naik pada sebelah pagi Khamis menyebabkan dia sekeluarga bimbang dengan keselamatan bayi dalam kandungannya.
Dia yang bekerja sebagai kerani, mengakui pengalaman berdepan situasi banjir beberapa kali sebelum ini membuatkan dia dan keluarga sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Hujan lebat sejak malam Rabu, menyebabkan kami sekeluarga rasa tidak senang hati. Pada sebelah pagi, sebelum saya hendak bergerak ke tempat kerja, saya lihat air sudah naik dan kami sekeluarga diminta berpindah ke PPS.
"Mujur, barang-barang bayi dan keperluan bersalin sudah diletakkan di dalam kereta. Syukur urusan berpindah ke PPS dipermudahkan walaupun ketika itu hujan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.
Maisarah berkata, sejak lima tahun berpindah ke Taman Aman, dia dan keluarga sudah empat kali berpindah ke PPS.
"Syukur segalanya selamat dan ramai yang membantu saya di PPS termasuk dari klinik kesihatan. Makanan dan keperluan anak-anak semuanya dijaga dengan rapi oleh petugas di sini," ujarnya.
Seramai 185 mangsa daripada 50 keluarga masih berlindung di PPS Dewan Sekolah Agama Rendah Bersepadu ( SRAB) Kota Tinggib yang dibuka sejak Khamis lalu berikutan banjir yang melanda.
Mangsa banjir terdiri daripada penduduk Taman Aman dan Taman Mawai.