DBKL sita peniaga tanpa lesen di Taman Tasik Titiwangsa

Iklan
Antara barangan yang disita dalam operasi DBKL pada Jumaat. Foto FB DBKL

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan pemeriksaan mengejut di Taman Tasik Titiwangsa melalui Tindakan Khas Aktiviti Perniagaan pada Jumaat.

Ia susulan aduan berkait aktiviti perniagaan dan penjajaan melibatkan penjualan makanan, minuman, kendera saji (food truk), peralatan mainan serta aktiviti penyewaan basikal dan kenderaan beroda (tuk-tuk).

Iklan
Iklan

Pemeriksaan sekitar kawasan Jalan Kuantan dan Jalan Tembeling itu diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Noor Azman Mahlin bersama kekuatan 51 pegawai, anggota penguat kuasa dan kakitangan DBKL dengan kerjasama Pejabat Cawangan Setiawangsa.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya telah memeriksa tiga struktur yang dijadikan stor bagi penyimpanan barangan dan peralatan berkaitan aktiviti perniagaan penyewaan melibatkan basikal dan kenderaan beroda.

Iklan

"DBKL membuat tindakan sita dan pindah barangan ke atas 14 buah kenderaan beroda (tuk-tuk) setelah pemilik gagal mempamerkan lesen atau permit bagi membina atau membuat tempat penyimpanan sementara di tempat awam.

"Satu tindakan sitaan turut dikenakan ke atas penjaja makanan dan minuman tanpa lesen yang menjalankan aktiviti di tempat awam," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Iklan

Katanya, tindakan penguatkuasaan khas dijalankan menerusi kesalahan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

Kesemua barangan dan peralatan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras untuk rekod penyimpanan sementara dan dokumentasi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan keresahan warga kota berhubung lokasi taman riadah itu kini dipenuhi aktiviti penjajaan yang mengundang masalah isu sampah dan parkir terhad.

Kawasan itu yang dahulu tenang kini berubah seperti pasar malam susulan kebanyakan petak parkir dipenuhi peniaga yang berebut menjalankan perniagaan berbanding datang beriadah.

Mengulas perkara itu, DBKL turut memaklumkan bahawa hanya perniagaan yang mempunyai lesen atau kebenaran dibolehkan beroperasi di Taman Tasik Titiwangsa dan penguatkuasaan akan diteruskan ke atas aktiviti perniagaan bagi atasi aduan berbangkit di sana.

Menurutnya, tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang gagal mematuhi syarat lesen ditetapkan.

"Penguatkuasaan dilakukan bagi memastikan semua aktiviti perniagaan yang mendapat lesen kelulusan dan kebenaran sahaja dibenarkan beroperasi di sekitar kawasan Taman Tasik Titiwangsa.

"Tindakan lebih tegas akan dilakukan sekiranya masih terdapat pemilik aktiviti perniagaan dan penjajaan ingkar arahan semasa yang telah dikeluarkan sebelum ini," katanya.