Jenazah Allahyarham Fiza Kamarudin selamat dikebumikan

Iklan
Siti Nooriah Hassan, 69, (tiga, kanan) menyiram air mawar di atas pusara anaknya, Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah, Taman Selasih, Jalan Kuala Lumpur-Karak hari ini. Turut kelihatan suami Allahyarham Mohd Roshdi Ramli (tiga, kiri) serta anak-anaknya Riyadh Haziq, 10, (dua,kiri) dan Raisya Hannah, 8, (hadapan, empat kanan). Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jenazah wartawan hiburan Allahyarham Siti Nor Hafizah Kamarudin yang meninggal dunia di Hospital Charing Cross di London, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, di sini tengah hari Sabtu.

Kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan Allahyarham Siti Nor Hafizah atau lebih dikenali sebagai Fiza Kamarudin, hadir memberi penghormatan terakhir.

Iklan
Iklan

Jenazahnya dikebumikan pada jam 12.50 tengah hari dalam suasana penuh pilu dengan ramai ahli keluarga dan rakan-rakan kelihatan menahan sebak dan berpelukan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dijadualkan menyantuni keluarga Allahyarham sekitar pukul 3 petang ini di kediaman keluarganya di Ampang, Selangor.

Iklan

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.47 pagi sebelum dibawa ke Masjid Kampung Baru untuk solat jenazah.

Allahyarham yang berusia 40 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Charing Cross, pada jam 3 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) akibat pendarahan otak pada 28 Disember lepas.

Iklan

Beliau menerima rawatan di hospital itu selepas dilapor tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow pada 27 Disember lepas untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti bersama keluarganya.

Allahyarham yang merupakan bekas pesakit kanser payudara sebelum ini turut aktif dalam kempen kesedaran kanser dan kerap tampil memberi semangat kepada pesakit untuk terus berjuang meneruskan hidup.

Walaupun disahkan bebas kanser enam tahun lalu, sel barah berkenaan dikatakan kembali aktif.