KUALA LUMPUR - Gara-gara menolak ajakan rakan untuk ponteng sekolah, seorang remaja cedera dipukul dalam kejadian di tepi jalan Prima Pelangi, Segambut Dalam dekat sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian terbabit kira-kira jam 5.33 petang.
"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa berumur 15 tahun itu tidak mahu mengikut suspek ponteng sekolah.
"Suspek yang tidak berpuas hati dengan mangsa kemudiannya memaksa mangsa menaiki motosikal sebelum dibawa ke lokasi kejadian berdekatan dengan sebuah kondominium," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, setibanya di lokasi, mangsa dipukul oleh suspek menggunakan topi keledar di bahagian muka dan dada.
"Suspek terlibat yang merupakan rakan suspek kemudiannya diberkas kira-kira jam 1.22 pagi pada Sabtu dipercayai terlibat dalam kejadian," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Sukarno berkata, polis turut merampas satu topi keledar berwarna merah dipercayai digunakan ketika memukul mangsa.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan sebarang perlakuan jenayah di minta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222," katanya.