Jalan kekal Dabong - Jeli siap sebelum Aidilfitri - Nanta

Iklan
Kerja-kerja giat pemasangan jambatan sementara giat dilakukan di Jalan Dabong-Jeli.

JELI - Pembinaan semula pembentung dan jalan runtuh akibat banjir di Kilometer (KM) 73.85 Jalan Dabong - Jeli (FT 66) berhampiran Kampung Kubur Datu di sini dijangka siap sebelum Aidilfitri, April ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berlaku kegagalan pembetung jenis Corrugated Metal Pipe (CMP) di lokasi itu yang menyebabkan laluan persekutuan tersebut terputus sepenuhnya.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan semula tersebut berjalan serentak dengan pemasangan jambatan panel keluli bermodular oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi kemudahan sementara kepada 10,000 pengguna yang menggunakan laluan itu setiap hari.

"Pemasangan jambatan sementara dari jenis Acrow XS700 jenis satu lorong dengan kelebaran 4.2 meter dan sepanjang 30.48 meter dilakukan oleh JKR.

Pemasangan jambatan panel keluli bermodular sementara bagi kegunaan pengguna di Jalan Dabong-Jeli.

Iklan

"Pada masa yang sama, JKR dalam proses menyediakan reka bentuk pembetung dengan anggaran kos berjumlah RM700,000 bagi melaksanakan kerja pembaikan kekal di lokasi tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Lawatan Kerja Kemajuan Pemasangan Jambatan Panel Keluli Bermodular di Jalan Dabong - Jeli, pada Sabtu.

Menurut beliau, pemasangan jambatan sementara tersebut melibatkan 40 orang kakitangan daripada Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, JKR Machang, Kelantan, JKR Temerloh, Pahang dan JKR Kinta, Perak.

Iklan

"Kerja pemasangan jambatan dimulakan pada Jumaat dan dijangka mengambil masa lima hari bergantung kepada faktor cuaca.

"Setelah selesai, jambatan akan dibuka kepada kenderaan ringan sahaja manakala jalan kekal akan siap pada April ini,” ujarnya.

Jalan Dabong-Jeli berhampiran Kampung Kubur Datu yang runtuh pada Isnin lalu.

Dalam pada itu, selain lawatan di jalan runtuh tersebut, Nanta juga melawat ke lokasi-lokasi lain yang terjejas akibat banjir termasuk cerun runtuh.

"Lokasi terkesan bencana itu termasuklah di Jalan Raya Persekutuan FT2750 (Jalan Berdang - Sungai Rual), FT008 (Jalan Gua Musang - Kota Bharu) dan FT185 (Jalan Lojing - Gua Musang).

"Selainnya, Kementerian Kerja Raya memberi jaminan akan memastikan jaringan laluan Persekutuan kekal terhubung pada fasa pasca bencana ini,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kira-kira 2,000 penduduk di kampung berkenaan terputus hubungan selepas jalan persekutuan tersebut runtuh pada musim Monsun Timur Laut (MTL).