RAWANG - Pangsapuri Seri Cempaka di Rawang yang sebelum ini didakwa dibanjiri warga asing digempur Jabatan Imigresen Malaysia menerusi operasi yang dijalankan pada Sabtu.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 12.30 pagi di kawasan perumahan yang terdiri daripada lapan blok lima tingkat pangsapuri kos rendah itu.
Menurutnya, operasi melibatkan seramai 309 pegawai dan anggota daripada pelbagai bahagian Imigresen Malaysia itu turut dibantu beberapa agensi antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Kesemua PATI yang memiliki pelbagai kesalahan ini terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, lokasi serbuan yang berada di luar bandar itu agak mencabar kerana laluan masuk kawasan perumahan berkenaan terhalang dengan kenderaan yang diparkir secara tidak teratur.
"Pemeriksaan turut dijalankan melibatkan 174 lelaki, 79 perempuan, 27 kanak-kanak lelaki, 20 kanak-kanak perempuan dan selebihnya adalah warga tempatan.
"Operasi dijalankan susulan aduan awam berhubung PATI yang disyaki tinggal di kawasan perumahan tersebut tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.
Jafri Embok berkata, hasil serbuan dijalankan mendapati kesemua PATI yang ditangkap didapati memiliki pelbagai kesalahan imigresen.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut," ujarnya.