26 mangsa dakwa terpedaya pelaburan koperasi di Kelantan

Iklan
Hishamuddin (dua dari kiri) bersama sebahagian mangsa yang tampil mendakwa menjadi mangsa pelaburan sebuah koperasi di Kelantan.

KUALA LUMPUR - Pesara kerajaan, guru dan pensyarah antara 26 mangsa yang tampil mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan ditawarkan oleh sebuah koperasi di Kota Bharu, Kelantan membabitkan jumlah kerugian RM2. 8 juta.

Salah seorang mangsa yang juga pesara kerajaan, 66, berkata, dia kerugian RM77, 000 dalam tiga pelaburan ditawarkan koperasi berkenaan yang maklumat pelaburan itu diketahui melalui risalah yang disebarkan menarusi WhatsApp.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas melihat iklan berkenaan, dia tertarik dengan pelaburan tabung simpanan khas projek pembekalan stok dagangan yang memberi pulangan sebanyak dua peratus.

"Pada peringkat awal, pembayaran hibah berjalan baik dalam 10 bulan, namun mula bermasalah ketika Covid-19 menyebabkan pembayaran digantung selama enam bulan dan disambung enam bulan lagi," katanya pada sidang akhbar dikendalikan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) pada Sabtu.

Iklan

Bagaimanapun katanya, koperasi berkenaan berjanji untuk membayar hibah terbabit selepas Covid-19 berakhir, namun sehingga kini janji tidak ditunaikan.

"Begitu juga pelaburan lain yang saya masuk, semua alami pengakhiran sama.

Iklan

"Saya rasa sedih dan malu, ikut hati memang marah, namun terpaksa akur kepada undang-undang. Harap polis dapat jalankan siasatan," katanya.

Difahamkan pelaburan terbabit digunakan koperasi berkenaan bagi memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat-syarikat sendirian berhad yang tidak dimiliki oleh koperasi tersebut.

Seorang lagi mangsa yang merupakan seorang guru berkata, dia mengalami kerugian lebih RM26,000 dalam pelaburan membabitkan barang kemas dan air mineral di koperasi berkenaan.

"Saya terpengaruh dengan pujukan kempen simpan emas yang dijanjikan hibah pada 2020. Ketika itu saya tidak tahu koperasi berkenaan sudah bermasalah menyebabkan saya tidak mendapat sebarang pulangan hingga kini.

"Malah, saya terpaksa mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM8, 000 untuk menebus barang kemas yang digadai. Itu pun hanya empat daripada tujuh barang kemas dapat diselamatkan," katanya.

Dia akui terkilan kerana niat membuat pelaburan bagi membantu syarikat Melayu mengembangkan perniagaan namun tidak sangka berakhir menjadi mangsa penipuan.

"Saya bukan mahu melabur sangat cuma mahu emas yang dikumpulkan sejak saya mula bekerja disimpan di tempat selamat selain mahu membantu syarikat kembangkan bisnes.

"Tak sangka mereka sanggup tipu sesama Melayu. Walaupun modal tak banyak berbanding mangsa lain, namun saya tampil perjuangkan hak sebab tidak mahu ramai lagi menjadi mangsa penipuan," katanya.

Hishamuddin (tiga dari kiri) bersama mangsa yang tampil mendakwa menjadi mangsa pelaburan sebuah koperasi di Kelantan.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, disyaki 10 jenis skim pelaburan anjuran koperasi terbabit merupakan skim jenayah penipuan pelaburan terancang.

Tambahnya, konsep atau modus operandi yang dilakukan dengan mencari pelanggan yang berminat untuk menjadi ahli koperasi

selain mendapatkan pendapatan sampingan.

"Setelah itu, koperasi akan menawarkan pelbagai bentuk pelaburan yang diberikan pelbagai nama dan syarikat sendirian berhad bertujuan untuk mengelirukan pelanggan yang mana pelaburan ini adalah dikuasai sepenuhnya oleh ahli lembaga koperasi itu.

"Koperasi tersebut melantik wakil atau ejen mereka yang akan memberikan representasi dan penerangan lanjut kepada para pelanggan yang berminat," katanya.

Dakwanya, kesemua pelaburan yang ditawarkan kepada pelabur disyaki hanya di atas kertas sahaja.

"Ini kerana pelabur mengatakan mereka tidak pernah melihat atau dikemukakan rekod dan produk-produk pelaburan yang ditawarkan kepada para pelanggan.

"Tawaran program langganan saham tersebut adalah tidak sah dari segi undang-undang kerana tidak mematuhi undang-undang yang telah diperuntukkan oleh kerajaan Malaysia," katanya.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan menjalankan siasatan ke atas syarikat terbabit.

"Ramai mangsa mendakwa mereka telah membuat laporan polis tetapi kes mereka diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) atas alasan mempunyai perjanjian dan mangsa-mangsa telah menerima sebahagian dividen mereka.

"Ini tidak adil kepada mereka kerana kita dapati kes ini mempunyai elemen penipuan dan pecah amanah,” katanya.