[VIDEO] Wartawan kongsi kisah mistik Lubuk Yu, orang minyak

Iklan

SHAH ALAM - Wartawan Sinar Harian tidak melepaskan peluang berkongsi pengalaman mistik masing-masing sepanjang melibatkan diri dalam dunia kewartawanan di Festival Seram Buku Prima pada Sabtu.

Ketua Biro Wartawan, Mohd Ridzuan Abu Hassan menceritakan kisah misteri yang berlaku ketika beliau membuat liputan di kawasan air terjun Lubuk Yu, Maran, Pahang.

Mohd Ridzuan

Iklan
Iklan

"Kejadian 14 tahun lepas bermula daripada kisah pengunjung yang mati lemas hingga akhirnya meragut lapan kematian berturut-turut.

”Ia termasuk ahli keluarga orang yang meninggal dunia serta seorang anggota bomba dan penyelamat,” katanya ketika sesi perkongsian Zon Keras secara langsung di platform media sosial Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Sementara itu, wartawan Izwan Rozlin memaklumkan, kisahnya bermula apabila beliau menerima satu panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali mengenai kewujudan orang minyak di sebuah kampung dekat Gombak, Selangor.

Izwan

"Saya diceritakan lebih lanjut tentang perkara yang berlaku, betul ke wujud orang minyak di zaman serba moden ini dan pergi ke satu rumah di mana terdapat dakwaan berlakunya serangan,” katanya.

Iklan

Wartawan senior, Mohd Hafedzullah Mohd Hassan turut berkongsi kisah seram yang berlaku sepanjang kariernya apabila pernah disapa entiti tasik yang memunculkan dirinya sekitar jam 2 pagi.

Mohd Hafezdzullah (kiri) menceritakan pengalamannya disapa entiti tasik yang muncul jam 2 pagi. Foto Sinar Harian - MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Tambahnya, penampakan entiti berkenaan kira-kira 10 hingga 15 minit itu kelihatan sangat pucat, sugul dan seakan-akan bersedih.

"Ia tidak menakutkan, tetapi buat saya tertanya-tanya siapakah dia walaupun saya ada maklumat tambahan mengenainya, namun sehingga kini belum tahu,” ujarnya lagi.

Festival Seram Buku Prima 2024 diadakan selama tiga hari di Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula Jumaat hingga Ahad ini memberi peluang dan pengalaman kepada pengunjung untuk merasai suasana seram yang mendebarkan.

Pengalaman berbeza ini menjadi tarikan utama untuk berhibur dalam persekitaran seperti yang kerap digambarkan dalam filem atau novel seram khusus kepada penggemar genre mistik.

Terdapat pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung termasuk pameran, rumah hantu, pertandingan teater, gerai jualan makanan dan buku seram termasuk reruai oleh Sinar Harian iaitu Zon Keras yang mengetengahkan isu misteri, psiko serta thriller.