KUALA LUMPUR - Peguam Negara memohon kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Isham Jalil kerana dikatakan menghina mahkamah.
Dalam permohonan sebelah pihak yang difailkan pada 28 Disember lepas, Peguam Negara turut memohon mahkamah untuk memenjarakan atau mengenakan denda ke atas Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil selaku responden.
Permohonan itu difailkan berikutan satu temu bual bertajuk 'Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?' yang Isham dilaporkan mengulas proses perbicaraan dan rayuan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan syarikat SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ulasan Isham itu juga disiarkan di halaman Facebook 'The Malaya Post' pada 30 September tahun lepas.
Pemohon mendakwa dalam temu bual itu, responden mempertikaikan proses pendengaran permohonan penarikan diri terhadap Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang menghakimi perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini.
"Responden antara lain memberikan ulasan secara tersurat atau tersirat yang didakwa membawa maksud bahawa hakim itu bertindak secara berat sebelah dalam memutuskan permohonan berkenan.
"Selain itu, responden juga mempertikaikan proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC International antara Datuk Seri Najib lawan Pendakwa Raya.
"Responden memberi ulasan secara tersurat dan tersirat membawa maksud rayuan itu dihakimi secara tidak adil oleh panel Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara yang mendengar rayuan berkenaan,” dakwa Peguam Negara dalam dokumen permohonan itu.
Peguam Negara juga mendakwa perkataan-perkataan diucapkan oleh responden dalam temu bual itu secara keseluruhannya mengandungi risiko yang nyata, yang boleh menggugat keyakinan orang awam ke atas Badan Kehakiman dan terjumlah kepada gangguan ke atas pentadbiran keadilan.
"Tindakan responden yang disebutkan mengaibkan Badan Kehakiman dan justeru, ia adalah campur tangan dalam pentadbiran keadilan serta suatu penghinaan yang serius," dakwanya.
Sementara itu, Isham dalam hantaran melalui Facebooknya pada Sabtu berkata, beliau akan melihat permohonan Peguam Negara itu.
"Mengikut laporan akhbar, mereka sudah menghantar permohonan ini secara sebelah pihak ke mahkamah. Saya akan melihat permohonan sebelah pihak mereka ini," katanya. - Bernama