SUHU politik tanah air nampaknya kian panas apabila spekulasi demi spekulasi muncul yang dikaitkan dengan dua blok politik utama di negara ini iaitu blok Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN).
Terbaharu pada Sabtu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengulangi kenyataannya bahawa sekurang-kurangnya lapan ahli Parlimen pembangkang akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mendakwa, ahli Parlimen terbabit dijangka mengisytiharkan sokongan berkenaan pada sidang Dewan Rakyat pada 26 Februari hingga April depan.
Syed Abu Hussin yang menjadi ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kelima menyatakan sokongan kepada Anwar turut mendakwa kepimpinan PN sudah mengetahui perkara itu menyebabkan mereka mengatur strategi dengan melakukan Langkah Dubai.
Minggu lalu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa, terdapat usaha untuk menjatuhkan kerajaan Anwar kerana wujud gerakan Langkah Dubai membabitkan pemimpin PN serta ahli Parlimen kerajaan yang mengadakan pertemuan semasa bercuti di sana.
Malahan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan perkara itu dan mendakwa ia turut membabitkan beberapa individu daripada blok kerajaan.
Perkembangan yang berlaku ketika ini seakan-akan mengesahkan wujudnya ‘perang’ antara blok parti kerajaan dan pembangkang serta ia semakin panas dari hari ke hari.
Perkara itu pastinya meresahkan rakyat yang mengimpikan kestabilan politik kerana sudah serik dengan krisis politik yang berpanjangan berlaku selepas insiden Langkah Sheraton pada 2020.
Baru sahaja seminggu melangkah ke Tahun Baharu 2024, besar harapan rakyat untuk melihat keadaan politik negara lebih stabil supaya keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan sepenuhnya.
Terlalu banyak implikasi buruk akan ditanggung rakyat sekiranya keadaan politik berterusan tidak stabil terutama dari segi kemasukan pelaburan asing kerana tiadanya keyakinan negara luar terhadap Malaysia.
Oleh itu, soal kepentingan rakyat sepatutnya didahulukan oleh semua pemimpin politik tanpa mengira parti berbanding hanya memikirkan kepentingan dan ‘survival politik’ diri sendiri.