'Terlalu suntuk nak mohon sijil halal'

Iklan
MyBHA berpendapat tempoh untuk membuat permohonan sijil halal Jakim sangat suntuk kerana Ramadan akan disambut pada Mac. Gambar kecil: Ganesh Michiel

SHAH ALAM - Tempoh masa bagi membuat permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi pengusaha perkhidmatan juadah sempena Ramadan kali ini disifatkan terlalu suntuk.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata, pihaknya menyambut baik cadangan yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, namun beberapa kekangan seperti proses yang sulit dan panjang menyukarkan pengusaha untuk mendapatkan sijil berkenaan.

Iklan
Iklan

"Ramadan akan disambut pada Mac, jadi agak mustahil untuk dapatkan sijil berkenaan dalam tempoh dua bulan melainkan Jakim mempermudahkan urusan tersebut.

"Jika ia melibatkan semua pengusaha atau penyedia bufet Ramadan, persoalannya adakah Jakim mempunyai cukup kakitangan untuk proses dalam masa singkat?

Iklan

"Banyak hotel sebelum ini yang pernah mohon sijil halal tapi bukan senang untuk dapat kerana mereka perlu mengikuti kriteria dan kaedah yang tepat. Kita harus akui proses nak dapatkan sijil halal memang ketat,” katanya kepada Sinar Ahad.

Ganesh Michiel berkata, galakan untuk mendapatkan sijil berkenaan lebih sesuai dilaksanakan pada tahun depan.

Iklan

"Setiap kali Ramadan, isu yang sama timbul tapi dari satu sudut, saya melihat pihak berkenaan harus lebih adil dan tidak tertumpu kepada pengusaha hotel sahaja.

"Banyak lagi yang menyediakan bufet Ramadan termasuk restoran Arab dan Thailand serta pengusaha persendirian yang menjualnya secara set. Adakah mereka ini mempunyai sijil halal?

"Kita harapkan tindakan yang lebih adil untuk semua pihak, bukannya kepada pihak tertentu sahaja,” jelasnya.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff pada Jumaat memaklumkan, pengusaha perkhidmatan juadah sempena Ramadan dinasihati agar membuat permohonan SPHM menerusi Jakim atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Jelasnya, Jakim juga bersedia untuk membantu pengusaha hotel, restoran dan seumpamanya mempromosikan juadah berbuka puasa atau bufet Ramadan mendapatkan SPHM.