[VIDEO] Mohd Rostam pakar buat kostum adiwira

Iklan

KUANTAN - Perasaan kecewa dengan kostum Kamen Rider yang dibeli secara dalam talian untuk dipakai pada sambutan hari lahir anaknya, menjadi pendorong bapa lima anak ini terlibat dalam bidang pembuatan kostum.

Tanpa sebarang pengalaman, Mohd Rostam Hassan, 44, mula mencabar dirinya untuk mereka cipta satu set lengkap adiwira sekitar tujuh tahun lalu.

Iklan
Iklan
Mohd Rostam melihat koleksi kostum Ironman yang dihasilkan sejak 2018.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat bagi memberi keceriaan kepada anak keempatnya, Daniel Hafidh yang berusia tiga tahun pada ketika itu, terlalu meminati watak adiwira.

Mohd Rostam berpuas hati dengan hasil kreatif yang dihasilkan.

Iklan

"Selepas menerima barang itu (kostum Kamen Rider), saya dapati kondisinya sangat teruk dan terus membuang. Saya tidak sanggup pakai untuk buat kejutan hari jadi Daniel.

"Saya seterusnya cuba mendapatkan maklumat mengenai cara menghasilkan kostum di internet dan bila jumpa (dapat maklumat) saya mula yakin mampu menghasilkan satu kostum adiwira lengkap lebih baik daripada yang dibeli," katanya ketika ditemui di Costume Cosplay Rental Kuantan, Taman Guru di sini pada Sabtu.

Iklan

Berbekalkan ilmu yang diperoleh melalui YouTube, bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia yang pernah bertugas di Pangkalan Udara Kuantan di sini memberanikan diri untuk menghasilkan kostum Judge Dredd, Batman dan Stormtroopers sebagai permulaan.

Kostum pertama yang dihasilkan Mohd Rostam.

Katanya, kostum itu dibuat menggunakan kepingan eva foam dan proses dilakukan secara berulang kali sehingga memperoleh kualiti kostum memuaskan.

"Saya mula dengan buat helmet (topi) dahulu kerana itu adalah komponen yang paling sukar. Kalau helmet sedikit lari, ia nampak tidak cantik, biasanya orang akan melihat muka dulu.

"Jadi, kalau kita boleh buat kepala (topi) itu cantik, Insya-ALLAH (komponen) yang lain pun akan menjadi cantik," ujarnya yang berpuluh kali mencuba dan menguji kostum dalam tempoh setahun sebelum ia berhasil menjadi satu kostum lengkap.

Mohd Rostam memaklumkan medium YouTube adalah tempatnya belajar membuat kostum.

Selepas mempunyai pengalaman dan kemahiran, dia mula menghasilkan kostum Ironman kerana amat meminati karektor dalam filem berkenaan.

Tanpa menoleh ke belakang, Mohd Rostam menjadikan pembuatan kostum sebagai hobi telah memuat naik hasil reka ciptanya di laman sosial Facebook sekitar tahun 2018.

Menurutnya, bermula dari situ banyak jemputan diterima bagi meraikan majlis sambutan hari jadi dan program di sekolah di sekitar daerah ini.

Tanpa menduga, ketelitian dan ketepatan perincian kostum adiwira yang dihasilkan Mohd Rostam telah menarik minat pelanggan dari luar Pahang untuk membuat tempahan.

"Setakat ini, saya sudah menerima hampir 18 hingga 20 kostum daripada pelanggan. Saya mengambil masa sekurang-kurangnya dua ke tiga bulan untuk menyiapkan satu kostum.

Mohd Rostam menunjukkan kostum Ironman yang ditempah pelanggan.

"Tempoh masa agak lama kerana mementingkan kualiti di samping memastikan pembuatan yang kemas dan memuaskan hati pelanggan.

"Setiap satu kostum dijual di antara RM3,000 hingga RM8,000 dan harganya boleh menjadi lebih tinggi bergantung kepada kualiti bahan digunakan,” katanya yang turut menjalankan perniagaan pencetakan pakaian.

Bagi memastikan kostum dihasilkan ditambah baik, Mohd Rostam turut menghasilkan kostum tiga dimensi (3D) seperti ‘rapid prototyping’ menggunakan mesin mencetak 3D.

Jelasnya, penghasilan kostum juga dimasukkan elemen mekanikal dan penggunaan micro controller atau arduino untuk menjadikannya lebih realistik.

Mohd Rostam menggunakan mesin 3D untuk memastikan kostum Ironman yang dihasilkan lebih kemas.

"Saya sentiasa meningkatkan kemahiran dalam bidang berkenaan terutama membabitkan teknologi supaya produk dihasilkan sentiasa menepati kehendak peminat adiwira.

"Cat kostum menggunakan teknologi automotif yang lebih berkualiti dan tahan lama berbanding kaedah cat spray tin," katanya.

Selain itu, Mohd Rostam juga menawarkan perkhidmatan menyewakan kostum yang diusahakan bersama isterinya Norul huda Md Daud, 41.

Katanya, kini mereka memiliki kira-kira 300 kostum merangkumi watak adiwira filem, komik dan juga cosplay yang disewa dengan harga bermula RM30 hingga RM200.

Jelasnya, kostum berkenaan diperoleh dari ibu negara, Johor dan diimport dari luar negara malah ada juga kostum yang ditempah khas.

Mohd Rostam memasang tangan Ironman bagi memastikan kostum itu lengkap dan sempurna.

Apa yang menarik, setiap kostum dilengkapi aksesorinya malah mereka juga menawarkan perkhidmatan servis maskot bagi memenuhi sebarang undangan.

"Ada kalanya saya terpaksa mencari aksesori secara berasingan kerana tidak semua kostum didatangkan sekali dengan aksesorinya, malah ada juga aksesori yang saya buat sendiri.

"Saya mahu memastikan pelanggan menyewa kostum lengkap kerana ia memberi kepuasan kepada saya apabila mereka menggayakan kostum itu menyerupai watak asalnya,” katanya.

Mohd Rostam berkata, antara kostum yang sering menjadi pilihan kanak-kanak adalah watak Red Riding Hood, Harry Potter dan juga watak kartun Disney manakala kostum Maleficent, Darth Vader serta Naruto sering menjadi pilihan pelanggan dewasa.