Mustahil mampu beli rumah

Iklan
Pemaju banyak menawarkan kediaman seperti pangsapuri dilengkapi fasiliti moden, canggih dan selesa namun tidak mampu dibeli golongan belia berpendapatan RM3,000 ke bawah kerana harganya yang tinggi. Gambar kecil dari kiri: Nuraina, Muhammad Syafiq dan Anis Adilah

SHAH ALAM - Rata-rata golongan belia yang berpendapatan RM3,000 ke bawah masih tidak mampu membeli kediaman terutamanya di kawasan bandar.

Nuraina Ahmad, 28, berkata, pendapatan tidak mencukupi dan hanya boleh menyimpan sedikit merupakan punca utama dia masih belum mampu untuk memiliki sebuah rumah.

Iklan
Iklan

"Saya tidak mampu untuk membeli rumah kerana gaji yang kecil dan belum layak membuat pinjaman bank. Dengan keadaan ekonomi semasa, saya memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk membeli kediaman, mengikut kadar simpanan yang masih rendah.

"Sekiranya berpeluang untuk membeli kediaman, saya hanya akan memilih rumah mampu milik mengikut kemampuan dan komitmen. Bagi saya, harga rumah di Malaysia terlalu mahal sehingga banyak tidak terjual,” katanya kepada Sinar Premium.

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.

Selain itu, Nuraina yang juga seorang kerani di sebuah syarikat swasta berpendapat, mempunyai rumah tidak lagi menjadi keutamaan kebanyakan golongan muda yang baru bekerja kerana mereka lebih mementingkan komitmen dan tanggungan lain.

"Biarpun baru melangkah ke arah pekerjaan, ramai golongan muda yang mempunyai komitmen yang tinggi dari segi keluarga, kereta, perbelanjaan harian dan sebagainya.

Iklan

"Oleh itu, membeli rumah bukan pilihan utama. Malah, terdapat banyak perkara yang perlu diambil berat sekiranya ingin memiliki rumah sendiri seperti yuran penyelenggaraan, kos kerosakan dan pembiayaan bulanan yang boleh menjadi beban kepada pemilik,” katanya.

Penolong setiausaha syarikat, Muhammad Syafiq Rojiei, 26, pula berkata, kenaikan harga rumah yang tidak seiring dengan pertumbuhan gaji purata menyebabkan dia tidak mampu mempunyai simpanan yang banyak untuk membeli sebuah rumah.

"Dengan gaji yang saya peroleh sekarang ini, sangat mustahil untuk membeli rumah. Harga rumah akan melonjak setiap tahun tetapi ia tidak setara dengan kadar kenaikan gaji di Malaysia.

"Bahkan, saya tidak boleh membuat simpanan yang tinggi setiap bulan kerana terlalu banyak komitmen yang perlu diambil kira,” ujarnya.

Harga rumah yang semakin meningkat mendorong ramai golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah memilih untuk menyewa sahaja.

Tambahnya, keadaan ekonomi negara yang tidak kukuh selepas pandemik Covid-19 serta kadar gaji tidak setimpal yang diberikan oleh majikan merupakan punca mengapa perancangannya untuk membeli rumah terpaksa ditunda.

"Mengikut pemerhatian saya, harga rumah-rumah di Malaysia tidak mampu milik. Pada saya, agak mengarut untuk seseorang membeli rumah dengan gaji di bawah RM3,000 melainkan dia tidak perlu membayar apa-apa tanggungan.

"Lokasi juga indikator penting dalam menentukan harga rumah. Oleh itu, saya akan membeli rumah di luar bandar kerana harganya tidak terlalu tinggi,” katanya.

Turut mempunyai pandangan sama, Anis Adilah Abdul Halim, 25 yang merupakan seorang eksekutif syarikat berkata, menyewa pilihan yang lebih selamat dan kurang berisiko daripada membeli rumah terutamanya bagi mereka yang bekerja di ibu kota.

"Bagi golongan yang bergaji di bawah RM3,000 saya percaya agak sukar untuk memiliki rumah, terutamanya jika menetap di kawasan bandar disebabkan kadarnya sekitar RM1,500 ke atas biarpun hanya sekadar menyewa.

"Bayangkan, menyewa sahaja sudah ‘makan’ separuh daripada gaji apatah lagi untuk membeli sebuah rumah. Harga itu belum termasuk kos-kos tambahan lain yang menyebabkan kebanyakan golongan belia lebih selesa untuk menyewa daripada membeli kediaman,” jelasnya.

Mengulas tentang konsep ‘sewa sampai mati’ yang diamalkan oleh beberapa negara seperti Jerman dan Amerika syarikat, Anis Adilah berkata, Malaysia juga sesuai mengamalkan gaya hidup tersebut yang bebas daripada komitmen berat serta lebih menjimatkan.

"Disebabkan harga rumah yang semakin lama semakin meningkat, saya percaya ramai yang lebih selesa untuk menyewa rumah sahaja. Sekurang-kurangnya, kita hanya menanggung kos bulanan.

"Sewa lebih baik yang mana masyarakat boleh melompat kerja untuk pertumbuhan kerjaya tanpa perlu memikirkan komitmen rumah sedia ada. Daripada membeli rumah sekarang, kita boleh menyewa dahulu sambil menyimpan duit untuk membina rumah di kampung kelak sebagai pelan persaraan,” katanya.