KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menubuhkan task force atau pasukan khas bagi membendung aktiviti sindiket persundalan yang dikesan mula memasuki kawasan peranginan di negeri itu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, perkembangan itu diperoleh melalui risikan yang dijalankan pihak berkuasa di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan kegiatan itu.
"Kita dapat maklumat terdapat kegiatan persundalan yang berlaku di beberapa kawasan di pulau-pulau peranginan yang terdapat di Terengganu.
"Sehubungan itu, kita menubuhkan satu task force bagi memantau dan menjalankan operasi-operasi berterusan untuk memastikan kegiatan persundalan ini dapat dikekang," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.
Menurut Mazli, sebelum ini pihak polis telah menumpaskan sindiket persundalan dengan menahan tujuh wanita warga asing terdiri daripada empat warganegara Thailand, Indonesia (2) dan Laus (1).
Katanya, kesemua mereka ditahan dalam operasi dijalankan di beberapa hotel bajet di sekitar daerah ini pada 28 Disember tahun lalu dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan khidmat seks.
"Sepanjang tahun lalu kita adakan beberapa operasi melibatkan aktiviti persundalan yang nampaknya sudah cuba untuk memasuki negeri ini.
"Terbaharu pada hujung tahun lalu kita menahan tujuh wanita warga asing di mana empat daripadanya mempunyai pasport, manakala tiga daripadanya dikesan melakukan kesalahan tinggal lebih masa.
"Dengan terbongkarnya aktiviti persundalan ini menunjukkan Terengganu juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran atau tumpuan mereka-mereka yang terlibat dalam aktiviti sindiket persundalan lebih-lebih lagi negeri ini terkenal dalam sektor pelancongan," katanya.
Jelas Mazli, pihak polis turut membongkar aktiviti itu melalui dua tangkapan yang dibuat pada Mei tahun lalu melibatkan warga tempatan yang menjalankan aktiviti persundalan secara sampingan.
"Hasil beberapa risikan dijalankan mendapati berlaku kegiatan persundalan melibatkan sindiket tertentu yang bergiat aktif di Terengganu melibatkan daerah Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu," ujarnya.