Sebuah syarikat tawar pakej umrah bakal didakwa - Armizan

Iklan
Armizan (tiga dari kiri) pada Program Community Drumming di sekitar Tenom pada Ahad.

TENOM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah membuka sebanyak 88 kertas siasatan membabitkan aduan daripada mangsa penipuan pakej umrah.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, aduan telah dibuat oleh mangsa kepada KPDN bahawa syarikat tersebut tidak mematuhi 'award' yang diputuskan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, pada 22 Disember lepas mereka telah membuat aduan kepada bahagian penguat kuasa KPDN bahawa syarikat itu tidak mematuhi award yang telah diputuskan TTPM dan sebaik mendapat aduan tersebut, KPDN telah membuka sebanyak 88 kertas siasatan," katanya selepas menyempurnakan Program Community Drumming di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya perkembangan berkaitan dakwaan sekumpulan pengguna menjadi mangsa penipuan pakej umrah baru-baru ini.

Iklan

Tambah Armizan lagi, susulan daripada siasatan pihak KPDN, sebuah syarikat berpengkalan di Putrajaya akan didakwa di mahkamah pada Selasa depan.

"Dengan segera kita telah menjalankan siasatan yang telus dan terperinci berhubung aduan tersebut.

Iklan

"Jadi pada Selasa ini ada satu syarikat yang berpengkalan di Putrajaya telahpun diberikan notis untuk proses pendakwaan di mahkamah di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 atas aduan ketidakpatuhan terhadap award yang diputuskan TTPM," katanya.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menjelaskan, isu penipuan umrah itu adalah di bawah bidang kuasa KPDN di mana ia berkaitan dengan aspek kepenggunaan manakala dari aspek perlesenan, elemen jenayah dan lain-lain adalah di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi lain.

"Mengambil kira isu dan kes melibatkan penipuan umrah semakin banyak, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha KPDN untuk mengadakan perbincangan segera melalui sebuah jawatankuasa yang melibatkan agensi berkaitan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk berkaitan perlesenan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika berkaitan dengan unsur jenayah, Jabatan Zakat, Wakaf dan Haji (Jawhar) di Jabatan Perdana Menteri dan juga Pejabat Peguam Negara.

"Usaha ini penting untuk penyelarasan dan mengenal pasti tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan untuk memastikan perlindungan yang lebih holistik kepada pengguna dalam pengurusan umrah dan haji.

"Ini termasuk mengkaji keperluan untuk menambah baik kerangka perundangan sedia ada untuk pertimbangan jemaah menteri," katanya.