Seorang maut, empat cedera nahas dua kenderaan

Iklan
Dua kenderaan terlibat kemalangan menyebabkan seorang maut dan empat cedera di KM70, Jalan Johor Bahru Mersing dekat Kota Tinggi awal pagi tadi.

KOTA TINGGI - Seorang lelaki maut, manakala empat lagi parah selepas dua kenderaan terbabit kemalangan di Kilometer 70 Jalan Johor Bahru-Mersing dekat Kota Tinggi awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah berkata, pihaknya menerima laporan nahas dua kenderaan membabitkan Perodua Axia dan Honda CRV kira-kira jam 3.30 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati Perodua Axia dinaiki dua penumpang dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh jalan raya.

"Perodua Axia dalam perjalanan menghala ke Mersing telah terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Honda CRV yang menuju ke Johor Bahru.

Iklan

"Pemandu Perodua Axia iaitu Muhammad Hanif Omar, 23, meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang, Wan Mohamad Khairul Hairy Mohd Khairul Azlan, 23, dan Muhammad Amirul Izhan Aminudin Baki, 23 cedera dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi," katanya.

Turut cedera Mohamad Fariduddin Samsudin, 22, dan ibunya, Robakyah Amzin, 52 yang menaiki Honda CRV.

Iklan

Ashmon berkata, punca sebenar masih dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nasrul Jalil berkata, enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 2.31 pagi bagi membantu mengeluarkan mangsa.