SEREMBAN - Polis menumpaskan sindiket penipuan kad prabayar tidak sah di daerah ini yang dipercayai membekalkan simkad berkenaan kepada sindiket yang menjalankan penipuan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menahan dua lelaki warga China dalam dua serbuan di daerah ini pada Rabu lalu.
"Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Seremban berjaya menumpaskan satu sindiket yang menjalankan kegiatan penipuan pendaftaran kad prabayar yang beroperasi di Seremban, 3 Januari lalu.
"Kami berjaya menahan dua suspek warga China serta merampas pelbagai peralatan yang digunakan," katanya, dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, antara yang dirampas ialah 30 komputer riba, 17 telefon bimbit, 104 sim box, 30 pemacu USB, 7,315 kad prabayar, empat modem internet dan tiga unit network switch.
Ujarnya, siasatan mendapati, sindiket berkenaan terbabit dalam kegiatan penipuam pendaftaran kad prabayar secara tidak sah yang menyasarkan pelanggan di Hong Kong.
"Kumpulan ini juga disyaki berperanan sebagai pembekal kad prabayar secara dalam talian kepada ahli sindiket lain untuk digunakan bagi tujuan penipuan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Tambahnya, orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan sindiket penipuan selain boleh mendapatkan nasihat menerusi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599.