Johor Bahru kembali dilanda banjir

Iklan
Anggota bomba membantu memindahkan penduduk terjejas akibat banjir di sekitar Johor Bahru. Foto Bomba

JOHOR BAHRU - Daerah Johor Bahru kembali dilanda banjir apabila tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka pada jam 1 tengah hari, Ahad.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, tiga PPS yang dibuka terletak di kawasan DUN Tiram dan Parlimen Tebrau iaitu Dewan Raya Sungai Tiram, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram dan SK Nam Heng.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, jumlah terkini mangsa banjir di daerah itu masih belum diperoleh kerana pasukan petugas masih mengemaskini jumlah mangsa di PPS.

Anggota bomba membantu memindahkan penduduk terjejas akibat banjir di sekitar Johor Bahru. Foto Bomba

Sebelum itu, enam PPS di Johor Bahru yang dibuka sejak Isnin lalu telah ditutup secara berperingkat sehingga Sabtu, selepas keadaan banjir dilaporkan pulih dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Iklan

"Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat pada jam 3 petang, Ahad, apabila seramai 674 penduduk ditempatkan di 19 PPS selepas hujan lebat berterusan sejak awal pagi.

"Semua mangsa banjir itu terdiri daripada 185 keluarga di empat daerah iaitu Kota Tinggi, Kluang, Mersing, Segamat dan Johor Bahru. Kota Tinggi antara daerah paling terjejas ketika ini dengan seramai 512 mangsa dipindahkan ke 12 PPS," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Sementara itu, beberapa lokasi di Skudai, Kulai, Tebrau dan Larkin dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat lebat dan fenomena air pasang.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan antara kawasan terlibat ialah Kampung Sepakat Jaya, Kampung Laut, Kampung Murni Jaya, Kampung Bukit Batu, Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Paya Kenangan dan Kampung Pasir.

Anggota bomba membantu memindahkan penduduk terjejas akibat banjir di sekitar Johor Bahru. - Foto Bomba

"Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, menjalankan operasi pemindahan seorang warga emas ke PPS Dewan Kampung Melayu pada jam 9.50 pagi Ahad.

"Seterusnya, anggota bomba dari BBP Johor Jaya bersama pasukan bomba sukarela membantu memindahkan 46 mangsa banjir dari Simpang Ladang Mados, Batu 10 Sungai Tiram, Lorong Mak Piah, Kampung Paya ke PPS berdekatan," katanya.

Dalam pada itu, beberapa sungai turut dipantau kerana berpotensi meningkat ketika air pasang dan hujan lebat.