95 PATI digempur Jabatan Imigresen Perak

Iklan
Pemeriksaan Jabatan Imigresen Perak turut dilakukan di sebuah pusat hiburan di Ipoh. - Foto: Jabatan Imigresen Perak

IPOH - Seramai 95 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Perak di 25 buah premis perniagaan dan lot penjaja sekitar kawasan Ipoh dan Gopeng pada Sabtu.

Timbalan Pengarahnya, Sharmanrizal Rustam berkata, Operasi Banteras PATI yang diadakan selama 13 jam itu melibatkan 20 orang pegawai telah memeriksa 119 individu.

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah itu, seramai 51 lelaki dan 42 wanita termasuk dua kanak-kanak terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Pakistan, Kemboja, Laos, Filipina, Thailand serta Mesir ditahan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jabatan Imigresen menahan seorang lelaki yang bekerja di sebuah premis di Ipoh dalam Operasi Banteras PATI pada Sabtu. - Foto: Jabatan Imigresen

Menurut beliau, kesemua warga asing terbabit ditangkap dan ditahan bagi tujuan siasatan.

Iklan

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di dalam negara ini.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana telah tinggal lebih masa dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan," katanya.

Iklan
Pemeriksaan Operasi Banteras PATI berjaya menahan 95 warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. - Foto: Jabatan Imigresen

Tambah Sharmanrizal, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan atau individu yang menggaji serta melindungi PATI termasuk pendakwaan di mahkamah.