KOTA TINGGI - Ramai mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Al-Barakah Kampung Sri Delima di sini pada pagi Ahad tidak sempat menyelamatkan barangan rumah kerana air naik dengan begitu cepat.
Ismail Ahmad, 56, dari Kampung Tersusun Sri Delima berkata, semasa air mula naik pada jam 6.30 pagi, dia hanya sempat memikirkan untuk membawa keluar isteri dan anak-anaknya menyelamatkan diri terlebih dahulu selepas diarahkan berpindah ke PPS berkenaan.
"Selepas itu, saya hanya sempat memindahkan kereta ke tempat selamat manakala sebuah motosikal barang-barang dalam rumah seperti televisyen, komputer riba, peti ais dan barang elektrik lain tidak dapat diselamatkan.
"Begitu juga dengan dokumen penting walaupun diletakkan di tempat tinggi tetap rosak kerana selepas berpindah ke PPS ini air naik hampir dua meter," katanya ditemui pemberita di PPS berkenaan.
Ismail yang juga bapa kepada lima anak menyifatkan banjir kali ini paling teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan menganggarkan kerugian ditanggung lebih RM10,000.
Dia yang sudah bersara tidak menolak kemungkinan punca banjir disebabkan Sungai Kepala Orang yang terletak berhampiran kampung tersebut.
"Ini kerana parit sedia ada sudah didalamkan dan culvert yang dahulu kecil sudah ditukar dengan yang baharu tetapi banjir masih berlaku," katanya.
Azmi Muhamad Nor, 42, dari Kampung Sri Jaya turut tidak sempat menyelamatkan barang-barang dalam rumah kerana air naik mendadak dalam masa setengah jam sahaja.
Dia yang merupakan bapa kepada dua cahaya mata berharap barang-barang dalam rumah tidak dihanyutkan arus deras banjir dan memaklumkan sudah tiga kali banjir melanda termasuk dua daripadanya pada tahun lalu.
"Bukan sahaja barang dalam rumah, surat beranak dan dokumen penting selain semua buku, kelengkapan dan pakaian sekolah anak-anak habis rosak semuanya," katanya yang bekerja di bahagian landskap Bangunan Sultan Ismail (BSI) Johor Bahru.
Shamsiah Hassan, 41, dari Kampung Sri Jaya berkata, keluarganya hanya sempat menyelamatkan motosikal sementara perabot dan perkakas elektrik lain ditenggelami banjir hampir satu meter.
Suri rumah kepada dua anak itu berkata, biasanya banjir di kampung tersebut akan mengambil masa satu minggu untuk surut dan kadang-kadang sehingga dua minggu bergantung keadaan dan juga cuaca.
"Rumah saya berhadapan dengan sungai dan kawasan perkampungan ini rendah berbanding tempat lain, ini adalah punca utama banjir. Kami berharap Sungai Kepala Orang di sini akan didalamkan lagi selepas ini," katanya.