KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita nyaris dihanyutkan arus deras selepas Perodua Myvi yang dipandunya terjatuh ke dalam longkang besar.
Video kejadian berdurasi 15 saat yang tular itu menunjukkan insiden itu dipercayai berlaku di Jalan Bukit Samsu, Jalan Kota Tinggi-Mersing, di sini.
Dalam rakaman itu, seorang wanita dipercayai pemandu kereta berpaut pada Perodua Myvi berwarna kelabu yang dihanyutkan arus deras longkang terbabit.
Kemudian, dua lelaki kelihatan cuba membantu menyelamatkan mangsa dengan salah seorang daripada lelaki terbabit bertindak pantas menarik wanita berkenaan dan mereka dilaporkan selamat.
Pelbagai komen ditinggalkan di media sosial, yang rata-ratanya memuji usaha dilakukan lelaki yang menyelamatkan mangsa.
Sementara itu, Polis Daerah Kota Tinggi memaklumkan maklumat berhubung kejadian itu akan dikongsikan namun insiden terbabit tidak melibatkan kemalangan nyawa.
Polis sahkan terima laporan Myvi dihanyutkan air deras selepas terbabas
KOTA TINGGI - Polis mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi termasuk ke dalam longkang ketika air deras yang video kejadiannya tular.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, video kejadian tular itu telah dikesan pada pagi Ahad di Facebook dengan menyatakan mangsa dalam insiden itu telah diselamatkan orang awam.
"Polis mengesahkan telah menerima satu laporan berkenaan kemalangan yang berlaku di kilometer 42.5 Jalan Johor Bahru - Mersing melibatkan sebuah Perodua Myvi yang terbabas sendiri setelah dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang.
"Pemandu dan penumpang wanita berjaya diselamatkan orang awam selepas kenderaan tersebut dihanyutkan arus air yang deras," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Hussin, pemandu kereta berusia 37 tahun tidak cedera, namun penumpang berusia 43 tahun dirawat di Hospital Kota Tinggi sebagai pesakit luar kerana cedera ringan.
"Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). Siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi memastikan punca sebenar kejadian," katanya.