IPOH - Penganjuran majlis khatam al-Quran tidak seharusnya menjadi kebimbangan buat masyarakat bukan Islam di negara ini kerana tiada unsur permusuhan kaum di dalamnya.
Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Datuk Zamri Hashim berkata, majlis khatam al-Quran secara mudahnya difahami sebagai satu majlis membaca beberapa surah dalam al-Quran diiringi dengan bacaan doa sebagai tanda kesyukuran kerana berjaya menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran yang hanya melibatkan orang Islam sahaja.
Menurutnya, bahkan dalam program itu, peserta juga akan membaca satu surah dinamakan al-Kafirun bermaksud surah orang kafir yang mengandungi pernyataan tegas berkenaan menjaga hal ehwal agama masing-masing tanpa perlu campur tangan urusan agama lain.
"Sikap orang-orang Islam yang tidak memusuhi orang bukan Islam tanpa alasan yang kukuh ini adalah arahan dari al-Quran sendiri.
"Jadi orang bukan Islam tidak perlu bimbang dan prejudis dengan program ini kerana ia tidak mengandungi apa-apa unsur permusuhan kaum atau pun provokasi," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Zamri berkata, jika ia melibatkan murid-murid sekolah, aktiviti tersebut selaras dengan falsafah pendidikan negara dan sesuai dengan silibus pendidikan Islam.
Malah katanya, ia juga selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Beliau berkata, sepatutnya tidak ada alasan yang boleh menghalang penganjuran majlis khatam al-Quran untuk dilangsungkan.
Jelasnya, tindakan pihak tertentu yang tidak membenarkan penganjuran berkenaan tidak menyuburkan toleransi kaum di negara ini.
Terdahulu tular di media sosial sebuah sekolah dilarang menganjurkan majlis khatam al-Quran.