Lima pempengaruh kongsi pengalaman seram, paranormal

Iklan
Boss Wan (kiri) dan Tiger Labu berkongsi pengalaman mistik masing-masing secara langsung dalam TikTokers Sembang Seram sempena Festival Seram Buku Prima di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

SHAH ALAM - Pempengaruh TikTok berkongsi pengalaman mistik masing-masing secara langsung dalam TikTokers Sembang Seram sempena Festival Seram Buku Prima di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

Pempengaruh yang dikenali sebagai Ossasuke Hikaru itu mengakui bahawa misteri kehilangan Mohammad Ashraf Hassan ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail (GUT) pada 2019 menjadi titik tolak dia membuat kandungan berunsurkan mistik di media sosialnya.

Iklan
Iklan
Ossasuke Hikaru (kiri) dan Idham Nawawi berkongsi pengalaman mistik masing-masing secara langsung dalam TikTokers Sembang Seram sempena Festival Seram Buku Prima di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

"Sebagai bekas pesakit hijab pandangan mata terbuka semasa berusia 14 tahun, saya memang biasa nampak benda-benda ini menyebabkan saya terpanggil untuk sertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) Acap (Mohammad Ashraf).

"Pada asalnya, saya yang datang dari Terengganu sekadar untuk berkongsi kisah kesusahan ketika SAR tetapi lain pula jadi bila berlaku satu kejadian dalam hutan yang mana ada satu kelibat perempuan tetapi bukan dari kalangan kita.

Iklan

"Selang dua hari selepas saya balik ke Terengganu, saya bermimpi didatangi orang tua yang ingin beritahu keberadaan Acap tetapi dia tak sempat nak cakap sebab dikejutkan dengan azan Subuh,” katanya.

Festival Seram Buku Prima 2024 itu diadakan selama tiga hari di bermula Jumaat hingga Ahad ini untuk memberi peluang dan pengalaman kepada pengunjung merasai suasana seram yang mendebarkan.

Iklan

Terdapat pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung termasuk pameran, rumah hantu, pertandingan teater, gerai jualan makanan dan buku seram termasuk reruai oleh Sinar Harian iaitu Zon Keras yang mengetengahkan isu misteri, psiko serta thriller.

Sementara itu, pempengaruh dikenali sebagai Boss Wan berkata, pengalaman melakukan aktiviti paranormal di Istana Raja Bilah di Papan, Perak merupakan antara peristiwa yang tidak boleh dilupakan.

"Banyak gangguan masa ini, salah satunya kami nampak kelibat dayang perempuan yang dikhabarkan sebenarnya sudah tidak ada malah saya dan kru juga diganggu sehingga ke rumah.

"Tetapi itu tidak mematahkan semangat kami untuk teruskan aktiviti ini sebab saya sendiri sudah biasa nampak kalau orang kena rasuk dan sebagainya sebab ayah sendiri seorang perawat,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman sama, pempengaruh Tiger Labu berkata, eksplorasi paranormal di Muzium Perang, Pulau Pinang merupakan antara salah satu tempat yang menyeramkan.

"Walaupun dah buat eksplorasi di negara lain seperti Indonesia dan Singapura, ia tak boleh kalahkan keseraman yang ada di muzium ini kerana gangguan dekat sana masih lagi wujud.

"Maksudnya, saya masih lagi dengar dan dapat rasa tangisan serta rintihan mereka tetapi tidak terlalu takut kerana sudah biasa sejak kecil lagi disebabkan atuk perawat dan moyang saya adalah salah seorang pemegang ilmu Parang Terbang,” jelasnya.

Dalam pada itu, KakDya yang memiliki 1.3 juta pengikut itu berkata, kepelbagaian kandungan yang dihasilkan di TikTok tersebut merupakan kisah-kisah misteri yang belum terungkai, mistik dan bersejarah.

KakDya berkongsi pengalaman mistik secara langsung dalam TikTokers Sembang Seram sempena Festival Seram Buku Prima di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

"Saya pelbagaikan sebab nak buang skeptikal orang di Malaysia ini yang TikTok bukan sekadar aplikasi media sosial tetapi tempat untuk kita dapatkan ilmu juga,” ujarnya.

Selain itu, pempengaruh Idham Nawawi yang turut mengambil pendekatan sama berkata, kisah mistik di TikTok itu adalah hasil perkongsian cerita daripada orang ramai.

"Saya cuba ikut jejak langkah pempengaruh lain untuk pelbagaikan kandungan kerana minat yang mendalam tetapi kisah-kisah ini saya dapat daripada orang luar, kawan-kawan, keluarga dan juga pengalaman diri sendiri,” jelasnya.