KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyambut baik pendekatan dan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar universiti di negara ini melakukan pendekatan baharu dalam usaha menyokong strategi pemerkasaan agenda pendidikan tinggi negara.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, Perdana Menteri turut memberi saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan ruang dan kelonggaran kepada pimpinan di institusi pengajian tinggi (IPT) supaya dapat mewujudkan idea baharu.
Menurut beliau, pusat pengajian tinggi juga mampu melahirkan mahasiswa berdisiplin serta berkualiti sekali gus dapat bersaing di peringkat dunia.
"Secara tidak langsung penyelesaian masalah dalam sektor pendidikan tinggi negara dapat ditangani oleh pimpinan universiti," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau memberitahu, ketika berucap pada perasmian Program Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Perdana Menteri melihat di peringkat KPT hanya perlu bertanggungjawab sebagai penyelaras bagi mengelakkan sebarang pertindihan.
"Perdana Menteri turut memaklumkan KPT sebagai pusat berkumpul cendekiawan dalam pelbagai bidang kepakaran ke arah memacu negara yang akan dihormati dunia," katanya.
Hassan Basri berkata, wacana itu turut menjadi platform kepada semua pihak berkepentingan dalam pendidikan tinggi khususnya golongan akademik.
"Melalui saranan, perkongsian idea, pemikiran dan hala tuju oleh Perdana Menteri ini perlu disambut dan diperincikan secara mendalam oleh pimpinan universiti sebelum kita membentuk perjalanan pendidikan tinggi negara.
"Insya-ALLAH saya percaya UMK dapat menghasilkan sesuatu yang lebih proaktif dan berkesan berkenaan hala tuju dan pelan strategi KPM untuk mencapai misi dan visi universiti,” katanya.
Program berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Ia turut dihadiri lebih 500 peserta khususnya golongan akademik daripada pengurusan tertinggi KPT, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Awam (UA), Pengurusan Utama UA, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik dan kolej komuniti.
Selain itu katanya, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam ucapan perasmian penutup program berkenaan menyarankan warga KPT yang ditunjangi oleh IPT perlu menjadi 'minda' kepada rakyat.