MCA tak akan jadi 'pak turut' semata-mata - Ka Siong

Iklan
KA SIONG

SHAH ALAM - MCA akan terus menegur kerajaan dengan cara konstruktif dan tidak akan menjadi 'pak turut' semata-mata.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, sebagai Ahli Parlimen, beliau mahu sentiasa bersuara sama ada di dalam atau di luar Dewan Rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan itu adalah demi kebaikan rakyat dan negara meskipun perlu menegur berkenaan sesuatu dasar melibatkan mana-mana kementerian.

"Peranan MCA di Parlimen tetap sebagai 'semak dan imbang' di dalam sistem demokrasi.

Iklan

"Lagi pun, pada ketika ini, tiada pula Ahli Parlimen keturunan Cina dari blok pembangkang untuk memberi semak dan imbang.

"Kalau bukan MCA, siapa lagi? Apa jua dasar baik kerajaan yang memanfaatkan rakyat, MCA pasti akan sokong 100 peratus, dan MCA rasa terpanggil untuk bersuara jika ada dasar yang memberi impak negatif kepada rakyat," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang mendakwa MCA agak 'sesat' ketika menjawab soalan berhubung hubungan DAP dan MCA dalam Kerajaan Perpaduan.

Kenyataan Teresa itu dibuat dalam satu wawancara terbitan media tempatan.

Mengulas lanjut, Ka Siong turut menjawab dakwaan Teresa kononnya beliau hanya 'menyerang' Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

"YB Teresa dan sekutunya boleh terus 'membisu', tapi hak dan tanggungjawab saya untuk bersuara. Sila hormati dan raikan perbezaan pandangan serta kebebasan bersuara," katanya.

Sebelum ini Ka Siong pernah membangkitkan soal data peribadi rakyat Malaysia berhubung maklumat 33 juta pemilik kenderaan melalui kecacatan sistem MyJPJ.

Beliau juga pernah membangkitkan isu tambang penerbangan ke Sabah Sarawak yang membebankan rakyat selaku pengguna.

Selain itu, beliau juga bersuara agar pengetepian caj QR Code DuitNow yang akhirnya menyaksikan bank memberi pengecualian caj tersebut.

Terbaharu, Ka Siong merayu kepada Kerajaan untuk mengecualikan SST ke atas perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari (TCM) kerana bimbang kesannya akan ditanggung oleh pesakit yang menerima rawatan TCM.