Kehadiran luar jangka hari terakhir Festival Seram

Iklan
Orang ramai mengambil kesempatan berkunjung ke Festival Seram Buku Prima pada hari terakhir penganjuran di Kompleks Karangkraf pada Ahad. Gambar kecil: Firdaus

SHAH ALAM - Festival Seram Buku Prima menyaksikan kehadiran pengunjung luar jangkaan sempena hari terakhir penganjuran program pada Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf (GBK), Firdaus Hussamuddin berkata, ia susulan kejayaan beberapa program seperti Sumpahan Rumah Hantu dan Zon Keras yang menjadi tarikan utama kepada pengunjung, sekali gus menyebar luas kepada orang ramai melalui media sosial.

Iklan
Iklan

"Pada awalnya, mungkin tidak ramai yang tahu mengenai Festival Seram Buku Prima tetapi pada hari pertama dan kedua, mereka (pengunjung) yang menguar-uarkan serta mempromosikan mengenai program ini melalui sosial media.

"Saya dengar ramai yang tahu mengenai program ini melalui ‘status’ (sosial media) kawan sebab mereka sudah datang atau ada ahli keluarga yang baru diberitahu.

Iklan

"Bila kami anjurkan festival ini buat kali pertama, kita tidak meletakkan apa-apa sasaran. Kami cuma berharap orang ramai datang ke sini sahaja tetapi Alhamdulillah, sambutan pengunjung memang luar jangkaan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Karangkraf pada Ahad.

Orang ramai beratur untuk merasai pengalaman di Reruai Sumpahan Rumah Hantu pada Ahad.

Dalam pada itu, ujar Firdaus, reruai Sumpahan Rumah Hantu menampilkan keunikan tersendiri memandangkan tidak banyak acara sedemikian dianjurkan ketika ini.

Iklan

"Walaupun kita buat sendiri (perhiasan rumah hantu itu) tetapi mereka kata nampak profesional. Sama juga dengan Zon Keras,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut berterima kasih kepada semua kakitangan Kumpulan Karangkraf yang berjaya mengembangkan festival berkenaan kepada pelbagai aktiviti menarik bagi memastikan pengunjung boleh merasai pengalaman seram tetapi pada masa sama sangat menyeronokkan.

"Kita tidak membuat festival ini secara kecil tetapi berjaya kembangkan kepada banyak cabang lain.

"Jadi kita masuk kepada pementasan teater, kita panggil berapa jemputan seperti Pengarah Filem Seram, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan TikTokers lain. Ia lebih meluas.

"Jadi saya berterima kasih kepada staf, penulis kita yang bersama selama 18 tahun dan pengunjung terutama yang menyokong Buku Prima,” jelasnya.

Festival Seram Buku Prima 2024 diadakan selama tiga hari di Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula Jumaat hingga Ahad memberi peluang dan pengalaman kepada pengunjung untuk merasai suasana seram yang mendebarkan.

Terdapat pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung termasuk pameran, rumah hantu, gerai jualan makanan dan buku seram termasuk reruai oleh Sinar Harian iaitu Zon Keras yang mengetengahkan isu misteri, psiko serta thriller.