Janji 1 juta rumah mampu milik boleh dicapai

Iklan
Zuraida Kamaruddin

PUTRAJAYA - Kerajaan berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran membina satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun menjelang 2028 seperti digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Berkongsi perkembangan ​​​​​pelbagai projek perumahan yang rancak dibangunkan serta dirancang di seluruh negara, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pemaju swasta turut menyatakan kesediaan untuk membina lebih banyak rumah berharga RM300,000 ke bawah yang mempunyai permintaan tinggi rakyat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 39,864 unit rumah mampu milik telah siap dibina dan 181,211 unit lagi dalam proses pembinaan, manakala 386,340 unit pula dalam status perancangan di seluruh negara.

"Untuk KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), ini janji yang besar dengan sasaran kita 100,000 unit setahun. Pemaju swasta turut terlibat dengan aktifnya dalam pembinaan rumah mampu milik ini," katanya dalam wawancara bersama Bernama baru-baru ini.

Iklan

Rumah-rumah di bawah kategori lain juga rancak dibangunkan, antaranya 3,898 unit di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR), 4,448 unit Rumah Transit Belia dan 4,245 unit di bawah Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), yang kesemuanya siap dibina pada tahun ini, katanya.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) turut menyediakan rumah kepada 4,989 keluarga di seluruh negara dengan 3,019 daripadanya ialah Rumah Mesra Rakyat manakala 1,970 lagi unit Rumah Mampu Milik SPNB, katanya.

Iklan

Berkongsi pengalaman dalam beberapa pertemuannya dengan pemaju swasta, Zuraida berkata, mereka memahami tentang keperluan pasaran terhadap rumah di bawah RM300,000 dan akan menyahut seruan kerajaan untuk mengurangkan pembinaan rumah mewah.

"Mereka juga faham rumah mahal tidak terjual atau masih lagi dalam proses untuk penjualan, jadi tidak bertepatan kalau mereka terus membina rumah-rumah yang mahal," katanya.

Menurut Zuraida, isu lambakan rumah mewah yang tidak terjual sebelum ini berlaku berikutan ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran rumah kerana ketiadaan data yang tepat untuk aktiviti perancangan.

"Bagi menangani isu itu pada masa akan datang, KPKT sedang membangunkan sistem data raya yang akan memberikan maklumat berdasarkan unjuran keperluan rumah mengikut lokasi dan harga yang bersesuaian.

"Sistem ini dijangka siap menjelang akhir tahun 2020. Dengan adanya data ini, ia akan memberikan analisis perancangan perumahan yang lebih tepat terutamanya untuk pemaju swasta," katanya.

Zuraida berkata, KPKT turut menekankan aspek keselesaan pembeli rumah dengan menetapkan keluasan minimum rumah mampu milik pada 900 kaki persegi serta kemudahan lain seperti tempat riadah dan dewan yang tertakluk di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM).

"Kita sedang memperkemaskan mekanisme ini. Rumah yang ikut kaedah baharu ini sekarang dalam proses tender, jadi dalam tahun 2020, pembinaan rumah di bawah KPKT akan ikut spesifikasi DRMM," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga berusaha meningkatkan kadar pemilikan rumah melalui pelbagai program termasuk RTO (sewa untuk dimiliki) bagi membantu bakal pembeli unit PPR yang tidak layak dibiayai melalui institusi kewangan.

"Kalau mereka mampu untuk membayar sewa bulanan dengan berdisiplin, ia boleh digunakan sebagai dokumen sokongan untuk membuat pinjaman apabila mereka telah bersedia," katanya.

Sebanyak tujuh projek RTO telah dilaksanakan iaitu dua di Selangor, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, katanya. -Bernama