Tak perlu ragu-ragu isi data dalam sistem PADU

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto Bernama.

SISTEM Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan pada minggu lalu merupakan salah satu usaha kerajaan dalam memastikan tadbir urus awam yang lebih baik di negara ini.

PADU ialah pangkalan data sosioekonomi negara yang bersepadu, mengandungi profil individu dan isi rumah yang memberikan gambaran seadil-adilnya mengenai kedudukan ekonomi rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

Pendaftaran dibuka kepada orang ramai bermula 2 Januari hingga 31 Mac. Pengguna perlu mengemas kini serta mengesahkan 30 butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

Namun, satu perkara yang perlu diketahui ialah akan ada sesetengah kumpulan rakyat yang mungkin kehilangan kelayakan menerima bantuan kerajaan.

Iklan

Bermaksud situasi itu boleh berlaku sejurus mengisi data yang lebih lengkap dan kemudiannya dijana melalui sistem PADU.

Sebagai contoh, ada individu yang tinggal di luar bandar, tetapi menerima bantuan pada kadar yang sama dengan orang yang tinggal di bandar. Selepas ini mungkin nilai bantuan mereka akan berkurangan.

Iklan

Golongan ini mungkin akan merungut, tetapi sebenarnya mereka sudah menerima lebih daripada yang diperlukan atau mungkin tidak layak menerima lagi bantuan kerajaan.

Perlu dijelaskan, PADU bukanlah sistem untuk kerajaan memberi bantuan tunai kepada rakyat, sebaliknya merupakan sistem untuk mengenalpasti golongan bersasar untuk diberikan bantuan dan subsidi.

Bagaimanapun, kerajaan perlu sentiasa melakukan audit berkala untuk mengenal pasti kelemahan dalam sistem tersebut.

Langkah ini akan membolehkan sebarang isu ditangani segera, serta memastikan perisian, sistem operasi dan aplikasi sentiasa dikemas kini.

Lebih-lebih lagi tinjauan di serata negara mendapati masih ramai rakyat Malaysia yang tidak jelas dengan sistem PADU ini terutama di kawasan luar bandar.

Justeru, semua pihak perlu memberi masa agar sistem PADU dapat beroperasi sebaiknya. Lagipun buat masa ini baru masuk fasa pertama iaitu orang ramai mengisi butiran peribadi.

Tidak usahlah kita ragu-ragu untuk mengisi data peribadi kerana lebih ramai yang mengisi butiran mereka, lebih banyak data dapat dikumpulkan dalam sistem PADU supaya kerajaan dapat maklumat lebih tepat.