'Pandai-pandailah jaga badan'

Iklan
Pemain-pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan sebelum perlawanan persahabatan menentang Syria pada Isnin.

SKUAD bola sepak negara perlu lebih bijak memanfaatkan peluang apabila berdepan Syria dalam perlawanan persahabatan terakhir sebelum menyingkap kempen Piala Asia 2023 di Qatar pada 16 Januari depan.

Malah, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan keputusan perlawanan berdepan pasukan ranking ke-91 dunia itu tidak penting pada ketika ini sebaliknya fokus utama adalah bagi mengelakkan kecederaan pemain-pemain.

Iklan
Iklan

Jelasnya, dia percaya kebanyakan pasukan lain yang telah mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir itu tidak akan mengambil risiko mengadakan perlawanan ketika saingan temasya bola sepak Asia itu menyingkap tirai 12 Januari.

"Sejujurnya menang atau kalah dalam perlawanan menentang Syria ini tidak lagi penting kepada pasukan Harimau Malaya dalam tempoh seminggu kritikal sebelum perlawanan sebenar.

Iklan
Jamal Nasir

"Biarpun hanya perlawanan persahabatan bagi menilai keserasian dan momentum pasukan ia tetap boleh mengundang kepada risiko kecederaan walaupun hanya kecederaan ringan ia tetap mengambil masa untuk pulih.

"Nasihat saya kepada pemain-pemain Harimau Malaya pandai-pandailah jaga badan, seboleh-bolehnya elakkan terlalu agresif atau paling tidak pun jangan diterjah pemain pasukan lawan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Iklan

Sebagai rekod, aksi persahabatan menentang Syria merupakan medan terakhir sebelum pengendali Kim Pan-gon menemui kesebelasan utama yang akan dipertaruhkan pada perlawanan pertama kempen Piala Asia Qatar 2023 bertemu Jordan, pada 16 Januari ini.

Harimau Malaya diletakkan dalam Kumpulan E akan memulakan kempen menentang Jordan sebelum meneruskan saingan bertemu Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).

Bekas tonggak pertahanan Harimau Malaya tersebut juga menyuarakan kebimbangan sekiranya berlaku kecederaan kepada pemain-pemain negara selepas perlawanan tersebut.

"Saya amat bimbang sekiranya berlakunya kecederaan terhadap key player utama pasukan biarpun skuad kita diperkuatkan dengan sejumlah 26 pemain.

"Ya, biarpun kita akui ini merupakan pemain-pemain terbaik yang berjaya dikumpulkan untuk Qatar 2023, namun harus di ingat bahawa kemampuan setiap pemain berbeza-beza.

"Kita akan kerugian sekiranya berlaku kecederaan dalam kalangan pemain terutamanya key player yang secara tidak langsung menjejaskan perancangan awal ketua jurulatih Kim Pan-gon.

"Saya amat berharap selepas ini FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) tidak lagi menggunakan pendekatan sebegini kerana sesungguhnya amat berisiko biarpun terdesak mencari aksi pemanas badan tambahan pula untuk temasya sebesar Piala Asia ini,” katanya.

Harimau Malaya pernah menentang Syria dalam aksi persahabatan yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Bola Sepak Chengdong, Chengdu pada 6 September lalu.