KARIER Jordan Henderson di Arab Saudi mungkin tidak berpanjangan apabila bekas kapten Liverpool itu dikhabarkan mahu beraksi semula di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Henderson meninggalkan Anfield, kelab disertainya selama 12 musim dan menandatangani kontrak tiga tahun dengan Al-Ettifaq Julai lalu.
Iklan
Iklan
Perpindahan berprofil tinggi Henderson ke kelab Liga Pro Saudi itu menyaksikan dia menerima gaji lumayan £700,000 (RM4.07 juta) seminggu dengan Liverpool turut menerima £12 juta (RM69.8 juta) ketika kontraknya masih berbaki dua tahun.
Namun, Henderson dikatakan gagal menyesuaikan diri dengan kehidupan di Arab Saudi, malah pemain berusia 33 tahun itu bersedia mempertimbangkan sebarang tawaran dari kelab EPL sepanjang jendela perpindahan pemain yang dibuka semula bulan ini.
Legenda Liverpool, Steven Gerrard memainkan peranan penting meyakinkan Henderson berpindah ke Arab Saudi, namun Gerrard yang dilantik sebagai pengendali Al-Ettifaq kini di bawah tekanan susulan keputusan buruk di liga domestik.
Al-Ettifaq ketika ini menghuni tangga kelapan Liga Pro Saudi dan sekadar bermain di hadapan sekitar 7,800 penyokong di dalam stadium berkapasiti 35,000 orang.
Artikel Berkaitan