Piala Asia: Fizikal bukan ukuran

Iklan
Kim Min-jae (kiri) disenarai dalam skuad Korea Selatan dan mungkin diturunkan ketika berdepan Malaysia nanti. Foto Agensi

PEMAIN sayap lincah, Faisal Halim tidak gentar berdepan mana-mana pemain lawan termasuk pertahanan terbaik dunia yang membarisi pasukan Korea Selatan.

Malah, Faisal yang mesra disapa Mickey sudah tidak sabar untuk memperagakan aksi terbaiknya untuk membantu Harimau Malaya merekodkan keputusan membanggakan di kempen Piala Asia 2023 di Qatar.

Iklan
Iklan

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, dia sudah dalam mod bersedia dan hanya mengikut arahan sekiranya diturunkan dalam kesebelasan utama oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon.

"Jadi saya harap kita mampu mencipta kejutan di Qatar nanti," ujarnya.

Iklan

Mengulas lanjut cabaran dalam Kumpulan E, Faisal juga sudah memikirkan alternatif lain dalam usaha merobek gawang lawan kerana menyedari lawan akan merantai pergerakannya sepanjang saingan Piala Asia nanti.

Kelibat Faisal dan bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi antara yang menjadi tumpuan kerana gandingan tersebut sering mengucar-kacirkan kubu lawan.

Iklan

"Sudah tentu mana-mana pasukan juga membuat analisis yang tertentu. Mungkin saya dan Arif juga dipantau mereka.

"Kita pun ada analisis pasukan lawan jadi masing-masing ada analisis, namun yang menentukan adalah 90 minit di Qatar nanti," ujarnya.

Pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taipei, November lalu, aksi Faisal dan Arif Aiman mendapat pujian melangit daripada jurulatih Taiwan, Gary White.

White tanpa berselindung terkesima dengan kepantasan Faisal dan Arif hingga menyebabkan pertahanannya tiada jawapan menghalang gerakan sekali gus tumbang 0-1.

Di Piala Asia nanti, gandingan Faisal dan Arif Aiman akan berdepan pertahanan lebih ampuh yang membarisi pasukan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

Korea Selatan misalnya telah menyenaraikan pertahanan Bayern Munich, Kim Min-jae yang baharu sahaja dinobatkan sebagai pemain terbaik tahunan Korea Selatan untuk 2023.

Min-jae menandatangani kontrak dengan Bayern Munich pada musim panas lalu selepas menampilkan aksi memukau bersama Napoli di Itali.

Pada Mei 2023, Min-jae membantu Napoli memenangi kejuaraan Serie A pertama mereka dalam tempoh 33 tahun dan dia kemudiannya dinamakan sebagai pertahanan terbaik dalam Seria A.

Kelibat Min-jae di barisan belakang telah membantu Bayern berada di tempat kedua Bundesliga musim ini.

Sebagai rekod, Min-jae menjadi satu-satunya pemain dari rantau Asia yang tercalon untuk Anugerah Ballon D’Or.