TUMPAT - Tindakan seorang penyeludup mengubah suai tangki minyak kereta jenis Perodua Kenari untuk membolehkan mengisi petrol dalam kapasiti besar berjaya dikesan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan pada Ahad.
Dalam kejadian jam 3.40 petang di Telaga Bata, Jalan Chabang Empat Bunohan itu, pihak KPDN telah menyita sejumlah 125 liter minyak petrol.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, turut ditahan ialah seorang lelaki berumur 20-an.
"Siasatan awal mendapati suspek mengaku membuat pembelian pengisian ke dalam tangki ubah suai kenderaannya secara berulang di beberapa stesen minyak sekitar Pasir Pekan.
"Barang kawalan tersebut akan dibawa ke pangkalan haram sebelum diseludup ke negara jiran," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurut beliau, kes itu disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ujarnya, kejayaan tersebut adalah hasil daripada Ops Tiris yang dilakukan di sempadan negara sekitar Kota Bharu-Tumpat.