KUALA SELANGOR - Dua bot pukat tunda haram yang diubah suai dirampas Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor di Bagan Pasir di sini pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, Op Periksa itu dijalankan bermula jam 11.30 pagi dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor.
Menurutnya, semasa operasi, dikesan tindakan nelayan yang melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguat kuasa selain terdapat seorang pekerja asing terjun ke laut untuk elak ditahan.
"Susulan itu, pemeriksaan lanjutan di jeti-jeti menemui dua bot tunda haram yang juga dikenali sebagai bot combat.
"Pemeriksaan mendapati bot Zon A ini menggunakan bot yang telah uzur, tidak lagi digunakan oleh pemilik asal sebelum dijual ke pemilik yang baharu," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Noraisyah berkata, pihaknya kemudian bertindak menyita dua bot terbabit.
Tambahnya, bot pukat tunda haram itu dipercayai beroperasi menunda di bawah lima batu nautika dan menggunakan pukat tunda serta tali tunda yang berukuran pendek bagi memudahkan mereka menaikkan semula peralatan ke atas bot dan melarikan diri untuk elak ditahan.
"Tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985," ujarnya.
Justeru, beliau menyeru supaya komuniti nelayan tidak melakukan aktiviti yang melanggar peraturan kerana kesannya akan memusnahkan sumber perikanan sekali gus menjejaskan keterjaminan makanan yang sepatutnya dinikmati oleh generasi akan datang.