SEPANG - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan akan memanggil seorang bekas Perdana Menteri dan orang di sekelilingnya berhubung penggunaan dana kerajaan sebanyak RM700 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan mengambil percakapan itu akan dibuat pada minggu ini atau selewat-lewatnya minggu hadapan.
Beliau berkata, tindakan itu bertujuan mengetahui bagaimana wang tersebut dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.
"Berapa jumlah mereka yang akan dipanggil, biarkan SPRM melakukannya.
"Buat masa ini, saya fikir hanya seorang bekas pemimpin negara akan dipanggil dan beberapa orang yang berada di sekelilingnya," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 iaitu 'Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional: Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional' di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Azam berkata, perkara utama dan mustahak adalah melihat bagaimana duit atau dana kerajaan itu dibelanjakan serta siapakah syarikat yang menerimanya.
Jelasnya, apabila berlaku sesuatu isu, maka siasatan perlu dilakukan dan tanggungjawab SPRM adalah menyiasat.
"Siasatan ini akan meliputi bagaimana ia dibelanjakan secara keseluruhan.
"Pastinya syarikat yang menerimanya akan disiasat," ujarnya.
Ditanya berapa orang yang akan diambil keterangan, Azam berkata, dia tidak pasti berapa jumlah yang akan dipanggil oleh pegawai penyiasat SPRM, namun
Namun begitu katanya, tidak kurang daripada empat orang akan dipanggil SPRM berhubung isu dana RM700 juta wang kerajaan itu.